Home Berita PAS Pahang

Muslimat berilmu mantapkan perjuangan parti

110
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 29 Apr – Muslimat diseru agar sentiasa menambah ilmu untuk mampu berdaya saing dalam menghadapi ujian yang semakin mencabar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak berkata dalam PAS ada medan untuk mendapatkan ilmu dengan adanya usrah, ijtimak tarbawi dan pelbagai pengajian seumpamanya.

“Asas perjuangan juga berlandaskan kepada ilmu maka muslimat dapat mengukuh dan memantapkan kefahaman tentang hala tuju parti untuk berhadapan dengan situasi politik semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS kawasan Indera Mahkota yang berlangsung di Balok di sini semalam.

Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Indera Mahkota (DMPIM) Salwani Saleh berkata muslimat PAS perlu tampil menunjukkan profesionalisme dalam gerak kerja bukan berada di belakang tabir.

“Ikon di kalangan muslimat perlu diketengahkan dan membina imej berpengaruh menerusi peranan dakwah dan siasah di tengah-tengah masyarakat.

“Ini sangat penting bagi membuktikan bahawa PAS sangat terbuka dan menghargai peranan muslimat dalam menggalas bebanan perjuangan,” tambahnya lagi.

Mesyuarat agung berkenaan dihadiri juga oleh ADN Beserah Andansura Rabu,  pemerhati dari Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang Maskhaliza Ismail dan pemerhati dari PAS kawasan Indera Mahkota Johari Yahaya serta penerima anugerah DMPIM.

Empat anugerah telah disampaikan oleh ADN Chenor iaitu Anugerah Zainab Al-Ghazali kepada Almarhumah Hamimun Dahaman (diwakili oleh anaknya), Anugerah Serikandi kepada Norzul Fadila Abu Bakar, Anugerah Khas Ketua Muslimat kepada Rahmah Ahmad, manakala Anugerah Hawariyyun kepada muslimat cawangan Chengal Lempong.

Dalam pada itu, bagi menghargai penyertaan teramai dan setia menunggu sehingga tamat MAT, muslimat cawangan Balok Pantai telah mendapat wang sagu hati sebanyak RM100.