Home Berita PAS Sabah

PAS Keningau ziarah prihatin mangsa kebakaran

70
SHARE

Oleh: Mimi Hazwa H.M.S
22 APRIL 2024

KENINGAU: Ujian Allah untuk hamba-Nya. Hari biasa pada saat semua orang sibuk bekerja, anak-anak ke sekolah, ada yang berjualan mencari rezeki dan tiada seorang pun di rumah, pada saat itulah berlakunya kebakaran yang tiada seorang pun ahli keluarga mangsa menyangka sama sekali.

Diiringi cuaca yang panas pada hari itu, menambah lagi proses merebaknya api dengan lebih cepat ke atas sebuah rumah bertingkat terletak di Kampung Sondoton Keningau.

Rumah dua tingkat tersebut musnah dijilat api di tingkat atas, manakala bahagian bawah hanya tinggal rangka yang tersisa, termasuk tiga buah kereta dan sebuah motosikal milik mangsa kebakaran.

Rumah besar tersebut adalah milik seorang mantan guru, Sahlan Nasin dan turut dihuni dua lagi keluarga besar lainnya.

Tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Turut terselamat dari kebakaran tersebut adalah enam ekor kucing milik mangsa yang sempat diselamatkan kecuali seekor kucing telah terkorban.

Sumbangan berupa pakaian lelaki dan perempuan dewasa serta kanak-kanak turut disumbangkan selain peralatan solat dan duit sumbangan yang juga turut diserahkan untuk meringankan beban mangsa-mangsa kebakaran.

Hadir menyerahkan sumbangan ialah Ustaz Abdul Muein Mohd Noor Ketua Biro kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sabah, Ridzqan Wirahadi Kusuma Ketua Pemuda PAS Keningau, Nor Azian Sapiai, Ketua Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS negeri dan Rafiah Sulaiman, Ketua Biro Kebajikan kemasyarakatan PAS Dewan Muslimat Keningau.

Semua mangsa kebakaran ketika ini ditempatkan di penempatan sementara di dewan balai raya kampung tersebut.

Diharapkan semua mangsa kebakaran yang terlibat sabar dengan ujian yang diberikan dan akan lebih banyak sumbangan dari segi material dan keperluan khusus dapat dihulurkan bagi meredakan sedikit sebanyak beban yang ditanggung mangsa ketika ini.