Home Artikel PAS Selangor

Muslimat Bangi Siap Siaga Realisasi Islam Memimpin Perpaduan

393
SHARE

BANGI : Ketua Muslimat (KM) Dewan Muslimat PAS Bangi (DMPB), Puan Hamsatul Hamzah menegaskan PAS melalui Muafakat Nasional sudah berjaya membuktikan bahawa menyatukan ummat Islam di Malaysia tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya bukanlah ucapan kosong.

Justeru, beliau dalam Ucaptamanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali ke-30 Dewan Muslimat PAS Bangi di Dewan Seri Cempaka MPKJ Saujana Impian pagi ini telah menyarankan Muslimat Bangi untuk bersama menjayakan Islam Memimpin Perpaduan dalam konteks Muafakat Nasional di Parlimen Bangi dengan melaksanakan beberapa perkara penting.

“Kita mestilah menguasai platform-platform media sedia ada terutamanya secara maya dengan memperbanyakkan kaedah menerang bukannya menyerang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan muslimat agar terus berkongsi dengan rakyat tentang kejayaan PAS dalam meneraju negeri terutama di Kelantan dan Terengganu dan bertahan diri dari menyebar berita fitnah yang disebar musuh.

Beliau juga mengingatkan perwakilan dan pemerhati yang hadir agar menjadikan sumber rasmi parti sebagai rujukan di dalam mendapatkan berita yang
sahih dan tepat.

Dalam masa yang sama, KM DMPB ini mengajak para muktamirat yang hadir agar memperluaskan aktiviti bersama secara Muafakat Nasional.

“Memperluaskan aktiviti ziarah kebajikan Anda di Hati Kami merentasi agama dan bangsa
dengan mengunjungi rumah-rumah orang tua, rumah-rumah kebajikan dan penempatan lain
selain daripada ziarah-ziarah yang telah dilaksanakan selama ini.

“Memperbanyakkan Program Muhibah pelbagai budaya.

” Sukan perpaduan yang melibatkan pelbagai bangsa dan kaum. Jadikan ia satu wadah untuk
mempereratkan dan menyatupadukan hubungan rakyat Malaysia yang majmuk ini, ” tambah beliau.

KM Bangi juga turut menekankan peranan muslimat dalam merealisasikan Islam memimpin Perpaduan di Bangi dengan mengambil peluang ruang di masjid untuk memberi khidmat kepada masyarakat tanpa meninggalkan aktiviti parti seperti usrah, liqa dan lain-lain.

Beliau juga mencadangkan agar diwujudkan pusat usahawan muslimat muda di Parlimen Bangi, bagi menarik minat dan
memberi peluang kepada anak-anak muda mencari sumber pendapatan tambahan.

Hamsatul juga mengajak semua agar memperbanyakkan berdoa dan munajat memohon pertolongan Allah dan menjana kekuatan rohani dengan amalan harian dan bukan hanya semata-mata untuk menghadapi pilihanraya.

Turut hadir dalam MAT ini adalah wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), wanita Umno, MIC dan MCA.