Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : Munaqasyah Ucaptama Ketua Pemuda dan Jelajah DPPM yang berlangsung semalam menyaksikan kehadiran lebih 100 orang, terdiri daripada kepemimpinan serta penggerak Dewan Pemuda PAS dari seluruh negeri Perlis.
Program anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis itu berlangsung di SRI Al Furqan Jejawi Dalam, dekat sini.
Objektif utama munaqasyah ini adalah bagi memberikan penerangan serta huraian berhubung visi, misi serta objektif DPPM bagi sesi 2019 – 2021 di samping menyampaikan pengarahan-pengarahan semasa untuk tindakan seluruh penggerak pemuda PAS.
Sepanjang program berlangsung, para hadirin telah berpeluang mengikuti tiga slot iaitu pembentangan Visi, Misi dan Objektif DPPM, sesi dialog serta slot Amanat Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Malaysia Ir. Khairil Nizam Khiruddin, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Exco DPPM, Akram Ikrami Taib Azamudden antara yang hadir mewakili DPPM.
Ir. Khairil Nizam dalam ucapannya menggesa agar seluruh kepemimpinan serta penggerak pemuda di negeri ini agar meningkatkan gerak kerja parti serta bekerja dalam satu pasukan ke arah mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Turut disentuh adalah empat prinsip permuafakatan yang menjadi amalan pemuda iaitu kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan Islam, perpaduan dan persepakatan tidak berasaskan kepada perkauman, pemusatan untuk penyelesaian isu rakyat serta keikhlasan dalam perjuangan.