Home Berita PAS Perak

Mulianya Islam Mengangkat Kedudukan Wanita

309
SHARE

Mulianya Islam mengangkat kedudukan Wanita

Wanita, peranannya amat besar di dunia ini. Bahkan kalau kita dapat lihat, disebalik kehebatan seorang lelaki, ternyata ada wanita hebat yang mendokong perjuangannya. Disebalik kehebatan seorang anak, ternyata ada seorang ibu yang bersusah payah mendidik dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Bersempena tanggal 8 Mac ini, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia buat anda semua yang bergelar wanita. Alhamdulillah kita semua masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan sehingga hari ini meskipun banyak ujian yang melanda saban hari.

Firman Allah SWT di dalam Surah An Nahl ayat 97 yang bermaksud:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

Wahai kaum wanita, peliharalah kehormatan kita sebaiknya walau dimana kita berada. Persiapkanlah diri untuk menjadi sebaik-baik madrasah buat anak-anak. Hiasilah peribadi dengan keindahan akhlak dan kelembutan budi bicara. Ketahuilah bahawa sebaik-baik hiasan yang ada di muka bumi ini adalah wanita solehah.

Marilah kita mencontohi Nusaibah Binti Kaab, Srikandi Islam di medan pertempuran, dan berazam menjadi seperti Asma Binti Abu Bakar yang dikenali sebagai wanita berjiwa waja. Bukan itu sahaja, tanamlah tekad yang tinggi untuk menegakkan agama Allah seperti Fatimah Az-Zahra dan memiliki jiwa pejuang seperti Nailah Al Farafisah yang terputus jarinya ketika melindungi Khalifah Uthman Affan.

Cabaran hidup di akhir zaman ini amat besar khususnya buat golongan wanita. Oleh hal demikian, peliharalah diri dengan kemantapan iman. Semoga kita sama-sama dapat mencontohi srikandi perjuangan Islam yang terdahulu agar ia menjadi sebaik-baik pedoman buat kita semua. Selamat Hari Wanita Sedunia. Moga Allah redha akan segalanya.

“WANITA BANGKIT MENDEPANI CABARAN”

“ISLAM MEMIMPIN, WANITA SEJAHTERA”

Ikhlas Daripada,
Dr Najihatussalehah Binti Ahmad
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak.
8 MAC 2021 | 24 Rejab 1442H