Home Berita PAS Wilayah

Muktamar Ke-39 medan refleksi, bugar semangat

78
SHARE

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

BATU, 6 Ogos : Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) Kali Ke-39 yang berlangsung di Diamond Square, Kuala Lumpur hari ini telah melibatkan lebih 100 orang perwakilan dan pemerhati dari 13 kawasan di Wilayah Persekutuan.

Para muktamirat telah mula hadir seawal jam 8.00 pagi dengan berpakaian rasmi PAS yang bertema hijau putih dan sekitar 20 orang pemerhati menghadiri muktamar secara atas talian.

Hadir merasmikan muktamar kali ini adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,  Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Turut bersama Persuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Ketua Wanita Dewan Himpunan Pedukung PAS Wilayah Persekutuan, Kavita Sivapathasundra, Ketua Srikandi Bersatu Wilayah Persekutuan, Zuryati Md Osman dan Ketua Wanita Gerakan Wilayah Persekutuan, Ung Lee Wah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapan aluannya memanjatkan setinggi syukur kehadrat Allah SWT di atas 39 tahun keberlangsungan Muktamar Tahunan DMPWP.

“39 tahun adalah satu tempoh kematangan. Walau berapapun usia kita selaku ahli-ahli DMPWP, tetaplah bertekad dan beristiqamah menjadi mata rantai perjuangan yang telah diasas dan diabadikan oleh para Rasul khususnya Nabi kita Nabi Muhammad SAW,” ujar beliau.