Home Berita PAS Perlis

Muktamar DPPNPs sahut cabaran tarik undi anak muda

84
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 8 Ogos: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS (DPPNPs) kali ke-47 bagi negeri Perlis ini telah diadakan di The Putra Regency Hotel, Kangar di sini baru-baru ini.

Antara fokus utama pasca muktamar pada tahun ini adalah menyahut cabaran mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutamanya berkaitan hal ehwal anak muda.

Perasmian Muktamar DPPNPs pada kali ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis.

Turut hadir , Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamad Ismail yang hadir sebagai pemerhati pada muktamar berkenaan.

Mohd. Shukri dalam ucapannya mengingatkan para perwakilan agar memperbanyak usaha mendekati para pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Pemuda PAS Perlis perlu bersiap siaga dalam posisi masing-masing menghadapi PRU-15 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

“Kenal pasti anak muda yang baru pertama kali menjadi pengundi dan tarik mereka untuk menyokong agenda Islam yang kita bawa.

“Dekati dan santuni semua anak muda tanpa mengira kaum dan agama dan besar harapan saya untuk melihat DPPNPs bergerak dengan lebih kreatif dalam memperbanyakkan segmen yang dekat dengan jiwa anak muda namun masih kekal dengan prinsip islam mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah,” ujarnya.

Ketua DPPNPs, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil ketika ditemui berharap, segala agenda muktamar pada tahun ini untuk membawa hasrat seluruh anak muda khususnya di negeri Perlis dapat direalisasikan serta turut menyatakan rasa bangga beliau melihat kesungguhan semua perwakilan yang hadir dengan semangat yang berkobar-kobar untuk membawa perubahan di dalam PRU-15 kelak.