Oleh: Nur ‘iffah
KANGAR : Sebagai tanda sokongan kepada para petugas barisan hadapan Covid-19, Majlis Tindakan DUN (MTD) Simpang Empat telah mengadakan program bantuan makanan tengahari kepada golongan berkenaan hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan diadakan pada tengah hari tadi bertempat di Lobi Blok B Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini.
Menurut pengarahnya Hj Razali Saad, kerja-kerja memasak telah dibuat seawal jam 5 pagi oleh para petugas MTD berkenaan.
“Seawal jam 5 pagi, para petugas MTD telah bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja menyediakan bahan dan peralatan, memasak dan membungkus secara gotong-royong di markas MTD Simpang Empat.
“Alhamdulillah, sebanyak 300 pek nasi putih, gulai kawah daging dan umbut pisang telah kami siapkan dan agihkan kepada para petugas yang terdiri daripada kakitangan HTF, anggota PDRM, ATM dan RELA.
“Kami doakan semoga semua petugas Covid-19 diberikan kekuatan dan kesabaran oleh Allah SWT dalam melaksanakan tugas mereka demi rakyat dan negara yang tercinta ini,” katanya ketika ditemui di sini.