Oleh NORJULIANA YAACOB
GURUN,23 Jun : Prihatin dengan bidang pendidikan, Ahli Parlimen Jerai YB Ustaz Sabri Azit mengambil keputusan mendekati dan meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Menurut YB Ustaz Sabri, kesemua tujuh pelajar cemerlang dari kawasan Gurun ini diberikan sumbangan wang tunai. “Wang tunai ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada mereka setelah berjaya memperoleh keputusan cemerlang. “Bukan senang nak dapat keputusan A dalam semua mata pelajaran seperti mereka,” katanya.
Tambah YB Ustaz Sabri, selain daripada tujuh pelajar yang diziarahi ini pihaknya dalam proses mencari pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas sekitar Jerai untuk diberikan sumbangan yang sama. “Kita nak pastikan semua anak-anak Jerai ini berasa seronok.
Meskipun sumbangan yang diberikan tidaklah terlalu banyak tetapi ingatan kita kepada mereka sangatlah kuat. “Tambahan pula golongan mereka inilah perlu dirai dan didekati kerana mereka jualah yang akan menyambung tampuk kepimpinan kita suatu hari nanti,” katanya.