Home Berita PAS Melaka

MP Jasin serah 300 kit makanan untuk edaran cawangan-cawangan PAS

121
SHARE

 

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 9 Jul : Ahli Parlimen (MP) Jasin, YB Datuk Seri Ahmad Hamzah telah menyerahkan sebanyak 300 kit barangan keperluan dapur dan beras kepada semua cawangan-cawangan PAS di dalam kawasan ini untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Penyerahan sumbangan ini berlangsung pagi tadi di pejabat Ahli Parlimen Jasin itu yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan 1.

Perkara ini dimaklumkan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

“Dengan sumbangan ini dapatlah sedikit membantu meringankan bebanan mereka yang terputus bekalan makanan dalam keadaan pandemik Covid-19 di kawasan Jasin.

“Saya selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka dan juga merangkap YDP (Yang Dipertua) PAS Kawasan Jasin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Seri Ahmad Hamzah dan kerajaan di atas keprihatinan kepada rakyat, dalam (keadaan) rakyat memerlukan bantuan ini.

“Semoga dengan usaha yang baik ini mendapat ganjaran di sisi Allah swt.

“Semoga dengan perkongsian ini juga dapat mengeratkan lagi ukhuwah kita bersama dalam Muafakat Nasional (MN) khususnya dalam konteks Negeri Melaka,” ujar beliau.

Turut hadir bersama dalam penyerahan barangan kit ini ialah Ahli Jawatankuasa Parlimen Jasin, AJK PAS Kawasan Jasin, Ketua JPRD PAS Kawasan Jasin dan Ketua-ketua cawangan PAS dalam kawasan ini.