Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Terbaru, Kluster Industri Teknologi Cheng Sembilan

94
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 8 Okt: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Industri Teknologi Cheng Sembilan yang dikesan di Mukim Cheng, Daerah Melaka Tengah.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, kluster ini merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Mukim Cheng dengan 16 kes positif direkodkan setakat ini.

Tambah laporan itu, punca jangkitan adalah secara sporadik dan seterusnya menular ke tempat kerja dan asrama pekerja.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 244 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 234 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, tiga kes daripada kes import A, empat kes daripada kes import B dan tiga kes kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 171 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 23 kes di Daerah Jasin dan 50 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 435 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 3762 kes masih dirawat, berkurang berbanding 3953 kes semalam dengan 31 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka, hanya satu kes kematian direkodkan hari ini yang dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan mangsa wanita berumur 27 tahun.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 9751 kes baharu direkodkan hari ini susut berbanding 9890 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,323,478 kes.

Selangor kembali menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1796 kes diikuti oleh Sarawak dengan 1339 kes, Kelantan (1052), Johor (864), Sabah (705), Terengganu (650), Perak (643) dan Pulau Pinang (632).

Manakala Kedah pula merekodkan 578 kes, Pahang (551), Kuala Lumpur (313), Negeri Sembilan (243),
Perlis (94), Putrajaya (45) sementara Labuan pula merekodkan hanya dua kes.