Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat, Selangor. Dilaporkan terdapat banyak kerosakan dan kehilangan harta benda yang ditanggung oleh penduduk kampung. Selain dari itu, dilaporkan juga terdapat satu kemalangan jiwa telah menimpa salah seorang dari penduduk kampung.Sebaik sahaja menerima berita bencana alam tersebut, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan serta-merta telah melancarkan kutipan sumbangan kecemasan khas buat mangsa banjir yang terlibat. Alhamdulillah, pihak LKK DMPM telah menerima respon yang amat menggalakkan.
Pada Selasa lepas iaitu tanggal 20 Jun 2017, Team Skuad Prihatin dari LKK DMPM menziarahi lokasi kejadian di Kampung Sungai Lui bagi menyampaikan Misi Bantuan kepada mangsa banjir. Sumbangan yang telah diterima daripada para penyumbang yang prihatin dan dermawan telah diserahkan kepada mangsa banjir yang terlibat.Dalam lawatan tersebut, Skuad Prihatin telah mendapati keadaan rumah penduduk kampung yang terlibat agak teruk.
Menurut penduduk kampung, air naik sangat laju pada ketika itu sehingga mereka tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang. Hanya dalam masa kurang dari 30 minit rumah mereka sudah dipenuhi oleh air. Barang-barang elektrik seperti televisyen, peti ais, dan lain-lain banyak yang hanyut dibawa arus deras, dan kini mereka tidak dapat memasak untuk berbuka dan sahur. Buat masa ini, makanan sahur dan berbuka mereka akan disediakan dan dihantar oleh sukarelawan dan juga Halwa Dusun Tua.
Selain dari itu juga, barangan peralatan Aidilfitri berserta Baju Raya juga turut musnah tenggelam di dalam banjir.Misi Sumbangan Banjir tersebut disampaikan kepada 10 buah rumah yang diketuai oleh Dr. ‘Uyun Abd Malek, Pengerusi LKK DMPM bersama Saudari Norina, AJK LKK DMPM. Turut hadir bersama mengiringi iaitu, Puan Rohani Khamis, Timbalan Pengarah 5 Halwa JPRK Dusun Tua, Ustazah Khadijah, Ketua Halwa Dusun Tua, Puan Mardhiyah Mustafa, Veteran PAS, Humairoh Omar, Timbalan Ketua Briged Muslimat Negeri Selangor serta Saudari Fatin dan Saudari Zakiah merupakan AJK Briged Muslimat Hulu Langat yang bertugas.
Pihak LKK DMPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada penyumbang Misi Bantuan Banjir ini. Semoga ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka yang terlibat, dan kita doakan semoga Allah menggantikan kehilangan yang mereka alami itu dengan yang lebih baik.
{jathumbnail off}