Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Misi Banjir Pulau Pinang Skuad Prihatin Bersama DMPM

1599
SHARE

Misi Banjir Pulau Pinang Skuad Prihatin Bersama DMPM 

Pulau Pinang, 7 November 2017 – Sehubungan dengan banjir besar yang melanda negeri Pulau Pinang, pada 4 November 2017, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) telah melancarkan Tabung Banjir Pulau Pinang bagi mengumpul sumbangan daripada orang ramai. Sejurus tabung tersebut dilancarkan, Skuad Prihatin LKK DMPM telah dihujani dengan panggilan dan pesanan Whatsapp daripada para dermawan yang bermurah hati ingin membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Sementara Tabung Banjir Pulau Pinang itu tidak putus menerima respon daripada orang ramai, pasukan Skuad Prihatin LKK DMPM sudah pun menjalankan tugas dan bergerak menuju ke Pulau Pinang pada 6 November 2017. Dengan kerjasama baik daripada Skuad Prihatin Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Misi Banjir itu semalam telah berjalan dengan lancar.

Berbekalkan duit sumbangan orang ramai pada fasa pertama, Skuad Prihatin LKK DMPM telah membeli barang keperluan asas untuk diagihkan seperti lampin pakai buang, tuala wanita, pakaian dalam wanita, botol susu, susu formula bayi, tuala, kain batik, kain pelikat dan periuk nasi elektrik. Barang-barang sumbangan tersebut telah diserahkan ke pusat pengumpulan barang-barang sumbangan di Pongsu Seribu semalam.

Turut serta dalam Misi Banjir ke Pulau Pinang semalam ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama suami, Ustaz Azmi, Penolong Setiausaha 1 DMPM, Puan Hafizah Fadzil, Pengerusi LKK DMPM, Dr ‘Uyun Abdul Malek, Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Saudari Nuri Muhammad, Pengarah Ameerah Malaysia, Saudari Husna Haji Hashim, serta beberapa Ahli Jawatankuasa DMPM.

Rombongan Skuad Prihatin dan AJK DMPM semalam juga berpeluang meninjau dan menziarahi beberapa kawasan yang terlibat dengan banjir, antaranya ialah pusat pemindahan di Kampung Besar dan sekitar empat buah rumah mangsa di Kampung Belah Dua.

Skuad Prihatin LKK DMPM merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan serta setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha LKK DMPM dalam menjalankan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

LKK DMPM sentiasa membuka ruang dan mengalu-alukan niat murni para dermawan untuk terus menyumbang. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun:

Dewan Muslimat PAS Pusat :
MAYBANK: 5640 2540 0711

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada:

Dr. ‘Uyun : 019 – 357 7502
Puan Zurina : 014 – 306 9141
Saudari Zuriati : 019 – 204 9434
Saudari Oyeen : 019 – 590 2381

? Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia

#KamiPrihatin
#SejahteraBersamaIslam
#MuslimatMemacuKemenangan