Home Berita PAS Pahang

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bentong meriah dengan pelbagai acara

111
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 26 Julai :: PAS Kawasan Bentong berikrar akan meneruskan legasi perjuangan bertunjangkan tarbiah, dakwah dan siasah di dalam saf yang tersusun rapi bagi memenangi PRU-15 kelak.

Ini ditegaskan oleh Yang Dipertua PAS (YDP) Bentong, Khairudin Abdullah ketika berucap mengalu-alukan kehadiran perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kawasan Bentong yang berlangsung di Karak dekat sini kelmarin.

Ikrar itu disandarkan sejajar firman Allah SWT dalam surah As-Soff ayat ke-4 yang menyatakan kecintaan Allah kepada orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalan-Nya dalam keadaan mereka berjemaah dan berorganisasi ibarat bangunan yang kukuh dan tersusun kuat.

Tambah Khairudin yang segak bertengkolok biru hitam, gerak kerja yang bersasar dan berobjektif secara sederap dan berterusan akan menghasilkan natijah yang baik menjelang PRU-15 nanti.

MAT Kawasan Bentong kali ke-38 berlangsung dalam suasana evergreen dikelilingi pokok-pokok segar bertepatan dengan kehadiran perasmi, Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air.

Di dalam ucapannya Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli PAS khususnya jentera parti di setiap kawasan agar memperkukuhkan gerakan parti menjelang PRU-15 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Jentera PAS juga digesa memperkukuh kekuatan melalui aktiviti bersifat `dalaman’ seperti tarbiah, usrah, tamrin, rehlah dan mukhayyam.

Gimik pembukaan menyambut kehadiran beliau telah diserikan dengan persembahan ‘silat menyambut tetamu’ oleh pasukan silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Bentong diketuai oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Bentong, Kasim Samat yang juga Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) Negeri Pahang.

Sementara itu, mantan Yang Dipertua PAS paling lama menerajui PAS Kawasan Bentong, Ustaz Abdul Hamid Bahatim telah dinobatkan sebagai Tokoh Istiqamah PAS Bentong bagi tahun 2022.

PAS Bentong turut berbesar hati menghadiahkan perasmi senaskhah Himpunan Berita PAS Kawasan Bentong 2019-2021 tulisan Wartawan Rakyat (WR) PAS Bentong, Khaulah Al Azwar.

“Ini antara MAT paling meriah dan terbaik sepanjang saya mengetuai kepimpinan kawasan. Penuh inovasi dan nilai tambah melambangkan kematangan usianya selama 38 tahun,” kata Khairudin.

“Persembahan silat yang tercetus daripada fenomena filem Mat Kilau digarap sempurna melambangkan sentuhan jiwa kepahlawanan yang mesti ada pada pejuang PAS.

“Syabas dan tahniah Pengarah MAT,  lsmail Bakar, AJK muslimat dan Jabatan Amal yang bertungkus lumus menyiapkan pelbagai prasarana hingga berjaya mencapai objektif,” luah Khairudin puas.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP) selaku pemerhati negeri, Hasanuddin Salim serta pemilik De Troh Villa atas keizinan dan kerjasama kepada PAS Bentong menggunakan premis mereka.

Tidak ketinggalan, wakil komponen Perikatan Nasional (PN) Bersatu dan Gerakan yang turut menzahirkan kesiagaan menghadapi PRU15.