Home Rencana PAS Perak

Gerakan ulamak dan perkembangan PAS cawangan di Perak

63
SHARE

GERAKAN ULAMAK DAN PERKEMBANGAN PAS CAWANGAN DI PERAK

Perak pernah mencatatkan sebagai negeri terawal yang subur dengan pertumbuhan PAS, yang seiringan dengan kemunculan madrasah-madrasah. Pada 1950-an, Perak dianggap sebagai kubu kuat PAS, sehingga PAS berjaya memenangi kerusi Majlis Undang Persekutuan bagi Kawasan Kerian dan kerusi Majlis Undang Negeri bagi Kawasan Kerian Laut dalam Pilihanraya Umum 1955.

Di sebalik tabir kejayaan awal PAS Cawangan Perak ini, ia bermula dengan kemunculan cawangan-cawangan PAS yang digerakkan oleh para ulamak melalui madrasah-madrasah di negeri ini dengan cukup pesat. Antaranya, pada 1952 Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas menjadi tuan rumah bagi Kongres PAS yang pertama (gambar).

Antara lain sejarah penting di Perak, ialah penubuhan PAS Cawangan Perak itu sendiri, yang kemudiannya dikenali sebagai PAS Cawangan Kuala Kangsar. ditubuhkan pada 26 April 1952 di Kelab Saadat al Islam, Kuala Kangsar. Yang Dipertua PAS Cawangan Perak ketika itu ialah Tuan Guru Hj Abdul Samad Noh (gambar) yang merupakan Mudir Madrasah Yahyawiyah, manakala setiausahanya ialah Ustaz Othman Hamzah.

Di Pusat, kepimpinan PAS diterajui oleh Tuan Guru Hj Fuad Hassan yang berasal dari Perak. Beliau turut hadir dalam persidangan bagi penubuhan PAS Cawangan Perak ketika itu. Antara ucapan yang disampaikan oleh beliau ketika itu ialah tentang tujuan-tujuan perjuangan PAS, khususnya untuk menyatukan umat Islam tanpa mengira kaum dan memberikan Kerjasama kepada Raja-raja Melayu bagi meninggikan Islam di negara ini.

Tuan Guru Hj Abdul Samad Noh yang merupakan Yang Dipertua PAS Cawangan Perak yang pertama, turut sealiran dengan ulama-ulama lain seperti Tuan Haji Sheikh Idris al-Marbawi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Junid Tola, Ustaz Abu Bakar Bakir, Tuan Sheikh Mohd. Salleh Haji Mohd. Taib, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Zubir Haji Ahmad, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr Burhanudin al-Helmi dan Tuan Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh.

Susulan penubuhan PAS Cawangan Perak itu, lahirlah pula sebuah persidangan yang dihadiri lebih 300 orang umat Islam yang diadakan di Madrasah at Tahzib ad Diniah, Titi Serong, Parit Buntar pada 6 Julai 1952. Madrasah ini diasaskan oleh Sheikh Abdullah Fahim selepas Perang Dunia Kedua. Beberapa tokoh PAS Kerian seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Suhaili dan Tuan Guru Haji Idris Munir dikatakan pernah menjadi mudir madrasah ini.

Persidangan yang mencetuskan penubuhan PAS Cawangan Kerian ini dirasmikan oleh Raja Musa bin Sultan Abdul Aziz Mu’tassim Shah, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak. Pertemuan ini dipengerusikan oleh Ustaz Othman Hamzah, dan turut dihadiri oleh Ustaz Ahmad Hj Maliki Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dan lain-lain.

Pertemuan ini juga telah bersetuju melantik Tuan Guru Hj Hassan Abdul Rahman yang merupakan Mudir Madrasah at Tahzib ad Diniah ketika itu sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Kerian dan Tuan Guru Hj Idris Munir sebagai Setiausaha.

Dalam catatan sejarah, Tuan Guru Hj Hassan Abdul Rahman pernah mendapat kepercayaan daripada Tuan Guru Haji Abdullah Fahim untuk menjadi tenaga pengajar bertauliah di di Sekolah Agama Idrisiah dan turut diminta mengajar kitab di Masjid Kota Lama Kiri dan lain-lain. Beliau turut dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak menjadi ahli Majlis Fatwa Negeri Perak selama dua penggal berturut-turut iaitu disekitar tahun awal 70-an

Pada 1953, merujuk kepada kehadiran Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang pertama iaitu pada 3 Januari, cawangan-cawangan PAS di Perak ialah Titi Serong Kerian, Perak (Kuala Kangsar) dan Hilir Perak. Tahun ini juga menyaksikan beberapa lagi cawangan lain yang sedang diatur penubuhannya, iaitu Selama, Beruas, Gerik, Ipoh, Kuala Kangsar, Parit dan Manong.

Pada 26-27 Ogos 1953 bersamaan 15-16 Zulhijjah 1372 telah diadakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua (Kongres PAS Kali Kedua) di Madrasah al-Ulum as-Syariah, Batu 20, Bagan Datoh, Perak (gambar). Madrasah ini dibangunkan oleh Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh al-Banjari pada 1937.

Madrasah ini kemudiannya diteruskan oleh anaknya, Ustaz Haji Mohd Hassan Adli Mohd Arshad yang merupakan Pengerusi Tetap PAS pada 1954. Bahkan, penubuhan Dewan Pemuda PAS ditubuhkan pada 25 Ogos 1953 turut diadakan di madrasah ini. Kemudian disusuli dengan penubuhan Dewan Muslimat PAS dan Dewan Ulamak PAS beberapa tahun kemudian yang turut diadakan di madrasah ini.

Pada 1954, PAS Cawangan Perak telah dimansuhkan dan bertukar nama menjadi PAS Cawangan Kuala Kangsar atau Padang Rengas. Pada tahun ini juga PAS Cawangan Batu Kurau Coast Road, Bagan Tiang, dan Batu 8 Kuala Kurau ditubuhkan.

Pada 12-14 Ogos 1954 bersamaan 12-14 Zulhijjah 1373, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga diadakan di Madrasah at-Tahzib ad-Diiniah, Titi Serong, Bagan Serai, Perak. Iaitu Madrasah yang dipimpin oleh Tuan Guru Hj Hassan Abdul Rahman yang telah diceritakan tadi.

Seperti yang dinyatakan di awal penulisan ini, Kerian adalah kubu terkuat PAS pada 1950-an, khususnya mukim Parit Buntar dan Bagan Serai. Di kawasan ini, PAS memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Kerian melalui Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein (gambar) dan kerusi Majlis Undangan Negeri Perak Kawasan Kerian Laut melalui Haji Mohd Kamal Ahmad dalam Pilihan Raya Umum 1955.

Manakala pada 22 Oktober 1955 tertubuhnya PAS Cawangan Gunung Semanggol dan Selinsing yang tumbuh daripada PAS Cawangan Kerian.