Home Rencana PAS Pahang

Setelah berazam, serah kepada Allah – Tuan Ibrahim

161
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

وَأَمرُهُم شورىٰ بَينَهُم

..dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.. (petikan sebahagian Ayat 38 Surah Asy-Syura)

فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah (petikan sebahagian Ayat 159 Surah Aali-Imraan)

Dua petikan tersebut telah disentuh dan diulas oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bentong baru-baru ini.

Di dalam ulasannya beliau menyebut, “Kita (sebagai) jentera ni, kalau orang dah start enjin, kita jalan jelah. Bila parti buat keputusan si polan si polan jadi calon, maka kita hadirkan saja diri kita walaupun proses tu kita akan minta pandangan kawasan, pandangan cawangan.. proses tu kita jalan.

“Tapi bila sampai satu tahap keputusan dibuat oleh Presiden, ‘wa amruhum syuraa bainahum’ lalu  ‘faizaa ‘azamta’ bukan ’azamtum, ‘faizaa ‘azamta’ iaitu setelah engkau berazam sorang-sorang (wahai Muhammad – sesudah bermesyuarat), ‘fatawakkal `alallah’, maka serahlah kepada Allah,” tegas Tuan Ibrahim.

“Jangan ada yang tidak puas hati bila parti buat keputusan si polan si polan jadi calon,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli PAS khususnya jentera parti di setiap kawasan agar memperkukuhkan gerakan parti menjelang PRU-15 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Jentera PAS juga digesa memperkukuh kekuatan melalui aktiviti bersifat `dalaman’ seperti tarbiah, usrah, tamrin, rehlah dan mukhayyam.

Usaha-usaha perlu dilakukan bagi mempertingkatkan lagi keahlian, memperkasa cawangan dan sebagainya melalui Lajnah Pemerkasaan Parti.

Tambah beliau, ketika Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan dua peperangan besar dalam sejarah Islam, Nabi mengambil pendekatan berbeza ketika membuat keputusan.

“Ada masa Nabi dengar pendapat umum dalam membuat keputusan dalam Perang Badar, (tetapi) dalam Perang Uhud tak, pendapat umum lain, maka keputusannya berbeza, tak sama dengan pendapat umum.

“Dalam perang ‘Dzatus Salasil’, umum melihat yang layak jadi panglima tentera (ialah) Abu Bakar atau paling tidak Umar, tapi nabi tolak, gantikan Amr Bin Ash (yang) baru masuk Islam. Baru je masuk Islam, rasanya baru dua tiga bulan, tapi Nabi lantik dia jadi panglima tentera, nabi tak dengar pendapat umum,” jelas beliau.

Oleh kerana itu ujarnya, di dalam membuat keputusan, parti akan berbincang dan berunding terlebih dahulu dan beliau selaku Timbalan, apabila Presiden sudah membuat keputusan, tanggungjawab beliau mendokong keputusan Presiden.

“Kerja kita bukan lawan (Presiden), kerja kita menyokong kepimpinan, ya, itu tanggungjawab parti kita, insyaAllah supaya parti kita tidak dilihat porak peranda seperti yang lain di luar daripada kita,” tegasnya.