Home Artikel PAS Sabah

Mesyuarat Agung Ke-20 Medan Pencetus Momentum Gerak Kerja PRN PAS Kawasan Putatan

423
SHARE

Janira Ain Abu Bakar
10 Ogos 2020

PUTATAN : Meskipun berlangsung dalam suasana sederhana, Mesyuarat Agung PAS Kawasan Putatan Kali ke-20 Sabtu lalu telah disempurnakan dengan jayanya dalam keadaan mematuhi SOP norma baharu.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, perjalanan mesyuarat agung kali ini di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah, Sembulan Kota Kinabalu hanya mengambil masa selama dua jam manakala kehadiran ahli mesyuarat dihadkan dengan jemputan melalui dewan-dewan, lajnah-lajnah dan wakil-wakil cawangan sahaja demi mematuhi garis panduan standard yang telah ditetapkan.

Dalam ucaptama beliau, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan Ustaz Akmal Othman sempat mengimbau sejarah perjalanan PAS di Putatan sambil menyeru ahli bersiap-siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“Parti Islam Se-Malaysia sebagai mata rantai perjuangan Islam ini ditubuhkan pada tahun 1951. PAS Sabah pula bermula pada tahun 1987 dengan PAS Kawasan Tawau, Sandakan dan Kinabatangan adalah kawasan yang pertama pada 30 April 1988, sementara kita pula PAS Kawasan Putatan adalah kawasan
yang kelima, dilahirkan pada 1997 dengan nama ketika itu PAS Kawasan Tanjong Aru dan surat pendaftarannya bertarikh 30 Mei 2000.

“Jika menurut tahun kelahiran 1997, PAS Putatan sudah berusia 23 tahun, sudah menjadi seorang pemuda yang tampan dan gagah sesuai dengan umurnya.

“Dalam pilihanraya pula, kita sudah menyertai dua kali iaitu pada PRU13 tahun 2013 DUN Tanjong Aru dan PRU14 tahun 2018 DUN Tanjong Aru dan Parlimen Putatan.

“Sebenarnya, PAS Tanjong Aru sudah terlibat dalam Pilihanraya Negeri tahun 1999, apabila Haji Yahya Kasim sebagai calon DUN Likas.
Walaupun DUN Likas bukan dalam Parlimen Tanjong Aru tetapi dalam Parlimen Gaya, kerana ketika itu di sebelah Pantai Barat hanya ada PAS Tanjong Aru sebagai pangkalan PAS di Kota Kinabalu, menjadi
jentera utama dan perintis dalam penyertaan PAS di DUN Likas. Belum ada lagi PAS Sepanggar (2010) dan PAS Kota Kinabalu (2014).”

Beliau juga menyelitkan ucapan tahniah buat institusi pendidikan PAS seperti PASTI dan SRITI yang sangat signifikan dalam menyediakan sistem pendidikan Islam. Beliau mengharapkan supaya ditingkatkan kualiti dalam aspek pengurusan dan
pentadbiran, keselamatan premis, kebajikan para guru, juga kualiti pengajaran dan pemelajaran.

“Paling jelas dan menonjol sepanjang tahun ini ialah aktiviti kebajikan. Bermula dengan musibah Covid-19 kita menggerakkan program kebajikan, kemudian sumbangan bulan Ramadhan, sumbangan Aidil Fitri,
musibah banjir pada akhir Jun lepas dan program Ibadah Qurban yang baru lalu, sama ada terus melalui
PAS Kawasan atau NGO kita yang mendapat banyak sumbangan awam. Setinggi-tinggi tahniah
kepada semua yang terlibat, khususnya Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Jabatan Amal dan Briged Muslimat.”

Mengakhiri ucaptamanya, Ustaz Akmal sempat menekankan enam perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh para ahli.

“Akhirnya, saya menyarankan kepada sahabat-sahabat sekalian dengan beberapa pesanan.

  1. Usahakan setiap seorang daripada kita mencari ahli baharu, tidak kurang lima orang setahun.
  2. Ahli keluarga dan anak-anak yang sudah aqil baligh untuk mendaftar sebagai ahli.
  3. Setiap kita mesti mempunyai kumpulan usrahnya, mengikut manhaj yang ditetapkan.
  4. Tawarkan diri berkhidmat dalam mana-mana lajnah sama ada di dewan-dewan atau kawasan
    mengikut kepakaran dan kemampuan kita untuk menyumbang kepada jamaah.
  5. Mengadakan tabungan atau sumbangan wang secara tetap kepada jamaah ini, khususnya PAS Kawasan, kerana kita sentiasa memerlukan dana sepanjang masa, sama ada musim pilihan raya atau bukan.
  6. Setiap ahli mesti berusaha mendampingi rakyat di tempat tinggal masing-masing, melalui solat berjemaah di masjid dan surau, jika berpeluang menyertai PIBG sekolah, Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa Masjid atau Surau, dan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, sukan rakyat, gotong-royong dan sebagainya. Kerana kita adalah ahli gerakan yang bergerak di dalam masyarakat.”

Mesyuarat kali ini dilihat sangat telus dan jelas dengan persembahan laporan aktiviti yang baik bersama Petunjuk-petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators atau KPI) bagi setiap lajnah untuk muhasabah bersama. Secara keseluruhan, kebanyakan lajnah berjaya mencapai KPI dalam tempoh seperti yang telah ditetapkan.

Antara yang menarik perhatian adalah perbahasan ahli mesyuarat mengenai perlaksanaan perancangan ekonomi kawasan. Lajnah Ekonomi dan Pengurusan Usahawan Putatan telah menggariskan objektif dan strategi bagi meningkatkan ekonomi PAS Putatan, memandangkan ia merupakan lajnah yang bertanggungjawab menyumbang kepada kewangan.

Antara pencapaian aset PAS Putatan sepanjang separuh penggal 2019/2020, adalah berjaya membeli sebuah van terpakai dengan nilai RM45,000 hasil dana kawasan dan kutipan sumbangan daripada ahli.

Sebagai persediaan Pilihan Raya Negeri yang dijangkakan berlaku dalam tempoh 2 bulan lagi, Majlis Pelancaran Jentera dan Dana Pilihan Raya PAS Putatan juga telah disempurnakan oleh Ustaz Akmal.