Home Berita PAS Perak

Menteri Agama santuni 41 mangsa banjir sekitar Changkat Jering

231
SHARE

Jaudin M Amin – 29 Ogos 2022

BUKIT GANTANG : Seramai 41 mangsa banjir yang melibatkan 11 keluarga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Air Kuning, dekat sini sejak semalam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Haji Ahmad berkesempatan menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut pagi ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terlibat sambil mendoakan agar kesemua mangsa banjir diberi kekuatan dan berharap bencana ini tidak berulang kembali.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menambah, “Setiap apa yang berlaku semuanya telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Hari ini tuan-tuan ditimpa musibah, mungkin esok lusa giliran kami pula diuji oleh Allah.

“Marilah kita bersangka baik dengan ketentuanNya, insyaAllah segala kerugian dan kebinasaan yang kita tanggung hari ini akan digantikan dengan balasan yang lebih baik lagi di masa hadapan”, katanya.

Turut hadir, Penghulu Kanan Mukim Taiping, Ahmad Asmadi Mat Salim, Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail dan Timbalannya, Zulkefly Ahmed.

Hujan lebat yang bermula sejak jam 2.30 petang semalam berlarutan sehingga lewat malam menyebabkan air sungai naik mendadak dan mengakibatkan beberapa penempatan di kawasan rendah ditenggelami air.

Semalam, Idris bersama Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Gantang dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke beberapa lokasi yang dilanda banjir iaitu sekitar Kampung Larut Ulu, Air Kuning, Taman Pengkalan Setia dan Taman Pengkalan Makmur.