Menolak Manhaj Yang Menentang Harakah Islamiah
▪️ Pengenalan
Penubuhan PAS sebagai harakah Islamiah yang memperjuangkan kesyumulan Islam di negara Malaysia bukanlah bersendirian. Malah di beberapa negara yang lain turut wujud harakah Islamiah dalam menegakkan syariat Allah di tempat masing-masing seperti di Mesir dengan kewujudan Ikhwanul Muslimin.
Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah secara rasmi pada 3 Mac 1924, negara-negara Islam dipecah-pecahkan dengan kemerdekaan yang diberikan oleh penjajah asal namun tetap menjajah menerusi sistem dan pemikiran.
Inilah antara yang diperingkatkan oleh almarhum ustaz Fadhil Nor dalam himpunan ceramahnya yang dibukukan iaitu “Aqidah dan Perjuangan” yang menukilkan kata-kata seorang tokoh iaitu “penjajah sudah tiada, namun penjajahan masih diteruskan oleh orang tempatan”
▪️ Pemikiran Penjajah Adalah Menentang Harakah Islamiah
Usaha memperjuangkan kembali khilafah merupakan satu kewajipan yang ditinggalkan oleh umat apabila doktrin sekularisme berjaya meracuni pemikiran umat Islam.
Lebih malang lagi, agenda ini diteruskan selepas kejatuhan khilafah terakhir apabila Qadhi Mahkamah Syar’ie Mesir iaitu Ali Abdul Raziq menulis kitab yang songsang dalam menafikan politik dan pentadbiran negara yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan mendakwa Baginda SAW hanya berdakwah semata-mata tanpa ada kaitan dengan siyasah. Bukunya tersebut yang berjudul “al-Islam wa Usul al-Hukm” menjadi kontroversi sehingga persidangan Kesatuan Ulamak di Al-Azhar mengeluarkan beberapa ketetapan dalam menyanggah tulisan itu dengan menarik semula kelayakan sijil dari beliau. Tidak cukup dengan itu, Syeikh Khidhir Hussin dan Syeikh Bakhit al-Muthie turut menulis kitab menolak dakwaan kitab songsang tersebut.
Konspirasi musuh tidak hanya menjadikan Islam dan politik terpisah agar kebangkitan kesatuan umat Islam tidak akan berusaha menegakkan kembali khilafah, musuh Islam juga akan memanipulasi istilah dalam agama agar merosakkan pemikiran umat Islam agar menjayakan agenda “Islam Amerika” iaitu versi agama Islam yang diredhai oleh Amerika.
Antara istilah yang dimanipulasikan iaitu :
1. Terrorisme. Islam dipalit dengan panggilan terrorisme apabila sesuatu seruan jihad diserukan. Jihad dinampakkan sesuatu yang negatif. Begitu juga apabila Barat memainkan media memburukan istilah “irhabi” pada pertimbangan yang negatif secara mutlak. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang di dalam kitabnya “al-Islam wa ‘Alaqatuhu bi al-Irhab”
2. Agama sebagaimana tafsiran religion oleh pihak Barat. Agama hanya disifatkan pada perkara spiritual, kerohanian dan upacara syiar ibadat sahaja. Mengasingkan sistem ekonomi, politik dan lain-lain. Tafsiran agama disempitkan oleh pihak Barat yang menjayakan “agama suku, politik suku”. Inilah bahana doktrin sekularisme. Sedangkan agama Islam yang dimaksudkan sebagai ad-deen merupakan cara hidup yang menyeluruh semua aspek. Inilah penegasan Tuan Guru Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang dalam kitabnya “Bagaimana Islam Memerintah Negara?”.
▪️ Musuh “Memperguna” Watak Muslim Untuk Merosakkan Harakah Islamiah
Serangan musuh tidak hanya sekadar luaran, namun yang lebih licik dan bahaya ialah serangan dari dalaman.
Menerusi serangan orientalis, kecelaruan pemikiran umat Islam dirosakkan dari dalam. Orientalis mengkaji al-Quran demi mencipta kecelaruan. Orientalis mengkaji kitab fiqh dan hukum hakam demi menimbulkan penyelewengan kefahaman umat Islam.
Antara yang popular dalam kisah serangan orientalis iaitu Snouck Hurgronje dari Belanda. Beliau menyamar sebagai muslim dengan nama Abdul Ghaffar yang datang ke Acheh. Berkahwin dengan anak imam tempatan, mendapat kepercayaan serta menulis makalah berkaitan Islam. Apabila berjaya memiliki pengaruh, tulisannya terus merosakkan pemikiran dan kefahaman umat Islam dengan doktrin yang mendakwa pengasingan dakwah dan politik.
Penyusupan musuh ke dalam dunia Islam sebagai watak muslim bukanlah sesuatu yang baharu malah sejak terdahulu. Bahkan ia tidak mustahil wujud berterusan sehingga kini.
Ada kala, ia sememangnya dilatih oleh musuh dan dihantar ke dalam dunia Islam. Ada kala juga, ianya menjadi agen secara tanpa sengaja kerana terpengaruh yang akhirnya menjadi agen musuh dalam dunia Islam secara langsung dengan menyebarkan doktrin Barat dalam menentang Harakah Islamiah.
Inilah bahaya kerosakan dari dalam sebagaimana yang diperingkatkan oleh Sayiduna Umar al-Khattab :
إنَّمَا تُنْقَضُ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً إذَا نَشَأَ فِي الْإِسْلَامِ مَنْ لَمْ يَعْرِفْ الْجَاهِلِيَّةَ
Maksudnya : “Hanyasanya ikatan-ikatan Islam akan terlerai satu persatu apabila wujud dalam Islam mereka yang tidak mengenal jahiliyyah”
▪️ Al-Azhar Dan Manhaj Ilmu Yang Menegakkan Kebenaran
Al-Azhar merupakan satu nama yang cukup gah di dunia Islam. Menjadi mercu tanda keilmuan yang luas dengan manhajnya yang agung sebagai institusi yang menyimpankan khazanah turathi Islami serta pendidikan arus moden semasa dalam kepelbagaian ilmu yang diajarkan.
Nama al-Azhar menjadi tarikan bagi tempat menyambung pengajian Islam secara khususnya dari serata dunia. Sistem yang unik dengan mengekalkan pendidikan turathi dengan talaqqi bersama para masyaikh yang hebat dan mempunyai limpahan ilmu yang sangat luas.
Dalam masa yang sama juga, lulusan yang mempelajari ilmu dari institusi al-Azhar menjadi harapan masyarakat sebagai penyebar ilmu serta penegak kebenaran di tempat masing-masing. Ini kerana ilmu asas kepada pemanduan amalan yang sahih. Ilmu juga pencorak pemikiran yang sahih untuk dibentuk dalam diri masyarakat ahar hidup bersyariat dan berpaksikan iman.
Gelaran al-Azhari merupakan kepada tempat pembelajaran iaitu institusi al-Azhar. Gelaran ini sangat besar di sisi mereka yang benar memahami konteks “al-Azhar” itu sendiri pada prinsip dan manhajnya.
Al-Azhar bagaikan mercu kiblat ilmu bagi umat Islam. Teguhnya institusi ini tidak sekadar pembelajarannya sahaja namun sejarah perjuangannya dalam mempertahankan kebenaran Islam dan ketulenan fikrah Islam menjadikannya terus terhormat dan dihormati.
Hal ini boleh dilihat seperti berikut :
1. Institusi al-Azhar cukup gah di persada dunia kerana memiliki dan memelihara manhaj dan displin ilmu yang sahih dan berkualiti. Manhaj ini membawa masyarakat mengenali Islam yang dibawa oleh Nabi SAW.
2. Abdullah Nasih Ulwan menyatakan antara 4 kekuatan umat Islam ialah al-Azhar. Ini kerana al-Azhar memiliki manhaj ilmu yang sahih. Membawa masyarakat mengikuti al-Quran dan al-Quran itu membezakan haq dan batil.
3. Para ulamak al-Azhar digeruni kerana mereka lantang mempertahankan kebenaran. Lihat sahaja contoh kisah yang dinukilkan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya “Risalah al-Azhar : Bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghadd” bahawa demontrasi pada 1795 yang menyaksikan Syeikhul Azhar, Syeikh al-Syarqawi yang bersama rakyat menegur pemimpin, Khurrashid Basha yang mengabaikan tanggunjawabnya dan kebajikan rakyat.
4. Antara lain, ulamak azhar yang tidak berkopiah azhar seperti Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi yang berani secara hadapan menasihati Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak di hadapan khalayak penuntut al Azhar.
5. Syeikh Muhammad al-Ghazali juga cukup digeruni ucapannya yang mampu menggetarkan hati pemuda pemuda sehingga setiap kali ucapannya pasti akan diekori dengan ratusan di segenap sudut oleh perisikan bersenjata. (Ini sebagaimana yang dikisahkan oleh Syeikh Rohimuddin di rumahnya pada tahun 2009 kepada saya ketika perbincangan untuk mempromosikan Tafsir al-Jilani dengan kerjasama PMRAM. Ustaz Abdul Malik dan ustaz Azlan Alias juga turut bersama dalam pertemuan itu.)
6. Kehebatan al-Azhar juga disebut-sebut dengan ketegasan terhadap penyelewengan kefahaman Islam yang berlaku seperti Jabhah Kibaril Ulamak al-Azhar yang memanggil dan mengenakan tindakan tatatertib ke atas Ali Abdul Raziq yang menulis kitab yang berjudul ” al-Islam wa Usul al-Hukm” yang menafikan politik dan negara dalam konteks Islam.
7. Teladani juga kisah yang dicatatkan oleh Dr Ali Muhammad al-Sollabi di dalam kitabnya “al-Sirah al-Nabawiyyah” yang menceritakan teladan Abu Hurairah yang tekun belajar dan menghafaz hadith namun beliau turut serta dalam peperangan bersama Nabi SAW. Malah di zaman Fitanatul Kubra yang berlaku ke atas Sayiduna Uthman Affan, beliau turut berada di benteng mempertahankan kediaman Sayiduna Uthman dari rempuh oleh puak yang terpengaruh dengan Abdullah bin Saba’.
▪️ Pertubuhan Menentang Harakah Islamiah Wajib Ditolak
Malang apabila terdapat pertubuhan yang berlapikkan “pusat ilmu” kononnya, namun tidak fokus dalam pembelajarannya.
Tenaga pengajar luaran atau dalaman membawa masuk doktrin yang menyebabkan kesan pengaruh negatif kepada yang menghadiri kelas. Akhirnya berlaku pertimbangan yang tidak adil terhadap para pejuang dan Harakah Islamiah.
Mengkritik tanpa pertimbangan yang adil terhadap tokoh terdahulu seperti Imam Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dan beberapa tokoh lain serta mempertikaikan karangan mereka yang dimanfaatkan secara meluas di serata dunia seperti Risalah Ta’lim, Fi Zhilalil Quran dan lain lain lagi merupakan tindakan yang tidak wajar. Walhal ulamak lain di serata dunia juga ada yang mengiktiraf dan memanfaatkannya.
Kecelaruan tenaga pengajar dalam menyebarkan doktrin menentang manhaj Harakah Islamiah adalah satu impak negatif yang wajib ditentang.
Sehubungan itu, apa juga pertubuhan demikian atas nama apa jua, kita menolak dan menentang bagi mengelakkan barah dalam Harakah Islamiah apabila penglibatan mereka tanpa pemikiran yang sahih.
Inilah ketegasan kita. Ia bukan isu teknikal tetapi isu serius yang melibatkan pengaruh manhaj dari tenaga pengajar yang membawa impak negatif kerana penolakan terhadap Harakah Islamiah.
Inilah juga keseriusan kita dalam kenyataan sebelum ini terhadap pertubuhan Ruwaq Jawi versi moden di Mesir yang ditubuhkan oleh beberapa mahasiswa di Hayyu Sabik, Madinah Nasr, Kaherah (yang bukannya di Masjid al-Azhar) sebelum ini menjadi isu yang diperbincangkan.
Tidak sekadar adab mereka terhadap pimpinan gerakan Islam namun kerana masyaikh yang menjadi rujukan mereka membawa doktrin bertentangan dengan Harakah Islamiah secara umumnya, dan secara khususnya mengkritik tanpa pertimbangan adil terhadap tokoh gerakan Islam di Mesir khususnya.
▪️ Penutup
Nasihat kepada semua agar memastikan pemilihan aliran displin ilmu, manhaj, tenaga pengajar dan tempat yang menjadi pusat ilmu adalah yang tepat dan tidak semberono yang akhirnya merugikan ummah kerana berlaku pertembungan dengan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Harakah Islamiah dalam perjuangan menegakkan syariat Islam.
Kecelaruan dalam pemikiran dan kefahaman akan merugikan ummah dan membuang masa.
Justeru, kita menegaskan isu ini dengan :
1. Jangan terperangkap slogan “pusat ilmu” tetapi menyeleweng dalam fokus penyampaiannya.
2. Menuntut ilmu pada tenaga pengajar dan tempat yang tepat dan jelas manhajnya yang memberikan faedah pada usaha perjuangan Islam.
Disediakan oleh
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Saiman
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat