Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Klang
Oleh : Mohd Nasrul Bin Ahmad Tajuddin
Klang | PAS Kawasan Klang dengan kerjasama beberapa NGO yang bergiat aktif di kawasan Klang seperti Pertubuhan Komuniti Sahabat Harmoni Malaysia (KASEH), Bakewanis, Ummah Care, KRC, Pondok Motivasi, dan Yayasan Amal telah menjejak gelendangan bermula di sekitar Hentian Bas Klang (lama), bawah Jambatan Kota, Bulatan Seratus, persekitaran Mydin MPK Klang seterusnya ke Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Botanik.
Program Jejak Gelandangan Klang ini diketuai oleh Saudara Izam Awalludin (Pengerusi KASEH) bermula sekitar 6.30 petang sehingga ke waktu maghrib dan bersambung semula selepas solat isyak sehinggalah berakhir sekitar jam 11.30 malam. Turut hadir sama dalam program ini ialah Yang Di Pertua PAS Kawasan Klang, Ustaz Khalid Nayan, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Klang, Puan Saerah Ahmad Suhaimi serta wakil-wakil NGO yang terlibat. Sebanyak 160 bungkusan makanan dan minuman telah dipersiapkan dalam program ini dan alhamdulillah semuanya telah selesai diedarkan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang boleh digambarkan ketika mana program sedang berlangsung. Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah semewah mana namun gelandangan menyambut baik kehadiran para aktivis yang turun padang menjejaki mereka dalam menghulurkan bantuan.
Bukan semua gelandangan ini datang dari Selangor, ada yang datang dari selatan tanah air, utara tanah air malah ada yang datang dari negara jiran. Mereka terpaksa keluar dari tempat asal mereka berhijrah ke sini barangkali atas faktor kehilangan pekerjaan di tempat mereka dan konflik dalam keluarga menyebabkan mereka terpaksa merempat di sini.
Penularan wabak pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di kala ini menyebabkan para gelandangan kian melarat dari hari demi hari dalam menempuh kehidupan norma baharu. Ada di antara gelandangan berharap para aktivis NGO lebih kerap “menjenguk” mereka lagi di masa yang akan datang.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor