Home Rencana PAS Selangor

Mengurus konflik dengan formula penyelesaian Islam – Setiausaha BPPN Selangor

13
SHARE

May be an image of 4 people

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Artikel | Hiruk pikuk jadinya pentas politik tanahair apabila Majlis Kerja Tertinggi Umno bermesyuarat 7 Julai lalu, lebih-lebih lagi Umno dikhabarkan akan bertindak keluar dari kerajaan Perikatan Nasional Persekutuan sekaligus menghilangkan majoriti kerajaan.

Ramai menjangkakan politik negara akan kacau bilau dan malah pihak pembangkang terutamanya sudah berani keluar dengan pelbagai kenyataan seakan menggambarkan yang pemimpin merekalah yang akan naik sebagai PM baru dalam waktu terdekat.

Lebih bergelora pula apabila sebelumnya terbit berita bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Naib Presiden Umno, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Menteri Malaysia dan telah diperkenankan Yang Dipertuan Agong.

Apa akan jadi? Para penganalisa, pengkaji dan peramal politik menjadi semakin bingung sehingga pihak pembangkang yang sebelumnya ghairah mahu mengambil kesempatan turut tidak terkecuali.

Muktamadnya sebagaimana diketahui MKT Umno memutuskan yang Umno akan tarik diri terus daripada kerajaan, Umno mahu PM digantikan. Namun dalam waktu yang sama MKT Umno mengutus ucap tahniah kepada Datuk Sri Ismail Sabri atas lantikkan sebagai TPM. Juga MKT memutuskan yang kesemua 38 ahli Parlimennya bebas samada menyokong atau tidak kerajaan dalam Persidangan Parlimen yang akan datang.

Ramai yang terpinga-pinga dengan perkembangan ini, jika Umno tarik diri dari kerajaan Khamis 8 Julai 2021 bermakna kerajaan Persekutuan PN telah hilang majoritinya. Tetapi Jumaat 9 Julai Dato Sri Ismail masuk ke Pejabat TPM buat pertama kalinya dan sehinga hari ini kesemua Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC Umno, tiada seorang pun yang melepaskan jawatan mereka, kesemuanya menjalankan tugas seperti biasa.

Pihak pembangkang terutama PH yang sebelumnya bernafsu mahu menuntut kerusi PM atas perkembangan ini dan kononnya mahu membentuk kerajaan baru, terpaksa menggigit jari, sekali lagi mereka gagal.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Bagi saya Umno bukannya sebuah parti setahun jagung, parti yang baru didaftar semalam, tetapi ia termasuk PAS adalah antara parti yang terbesar dan tertua dalam negara. Pimpinannya ramai dan masing-masing cukup berpengalaman terutama berada dalam kerajaan, dan mereka tidak mudah mengorbankan dasar dan prinsip semata-mata untuk mencapai sesuatu matlamat tanpa membuat perhitungan yang teliti dan mengambil kira tradisi, adab dan budaya bangsa.

Bagi saya Umno memang menyimpan dendam pada PPBM lantaran parti baru itu merupakan parti serpihannya, dan PPBM pula selepas PRU 14 telah menerima 18 ahli Parlimen Umno yang “melompat”. Hubungan Umno-PPBM cukup tegang, namun hari ini kita berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu pandemik Covid 19 yang perlu diurus dan ditangani dengan bijak jika tidak ia boleh melingkupkan negara dan masadepannya.

Mungkin Umno akur kepada tuntutan agar semua pihak fokus pada peperangan menghadapi Covid-19 ini, jika benar begitu mereka telah membuat keputusan yang matang. Dan dalam pada itu mengiktiraf Datuk Sri Ismail sebagai TPM menandakan Umno bukannya mahu menjatuhkan atau keluar kerajaan pun, kerana hakikatnya mereka blok terbesar dalam kerajaan, mereka cuma mahu menutut perubahan dalaman, itu hak mereka.

Apapun yang penting diperingkat ini adalah semua pihak berganding bahu memberi tumnpuan pada memulihkan negara menerusi Pelan Pemuliha Negara dalam menghadapi pandemik ini.

Wakil-wakil Umno di dalam kerajaan khasnya yang terlibat langsung dalam menangani pandemik ini sesungguhnya masing-masing telah memberikan khidmat terbaik yang sudah tentu mengharumkan nama Umno sendiri dan kini dengan Naib Presidennya selaku TPM sudah pasti ianya satu pengiktirafan dan Umno wajar membuktikan mereka dengan pengalaman yang besar dapat menyumbang kearah kejayaan PPN sehingga rakyat dapat hidup kembali normal.

Penting semua pihak berhati-hati, agar kekuatan kuasa politik Melayu Islam yang hari ini terbentuk melalui kerajaan Persekutuan tidak tergugat atau kecundang.

Umno, PAS dan PPBM masing-masing kecil atau besar memiliki tanggungjawab memastikan tidak lagi PH yang didominasi DAP diizinkan kembali bertapak di Putrajaya.

Apa sahaja perbezaan dan perselisihan, pasti dapat diurai dan diselesaikan sebaik mungkin kiranya semua pihak secara langsung atau tidak langsung dapat berunding dan berbincang. Letakkan kepentingan dan keutamaan perjuangan agama dan bangsa di hadapan dalam apa keadaan sekalipun.

Naib Presiden PAS Senator Ustaz Idris Ahmad di dalam satu wawancara khas bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini menyebut bahawa peretembungan antara parti-parti ini perlu diurus dengan baik dan apa bentuk yang membawa kepada perpecahan perlu dielakkan terutama dalam PRU akan datang, jika tidak kita membuka jalan untuk PH kembali berkuasa. Bertembung sahaja kata Ustaz Idris, “… kita kena ingat tentang DAP pula”. 22 bulan di bawah pemerintahan PH tambah Ustaz Idris sepatutunya sudah memberika iktibar dan pengajaran yang bermakna buat kita semua.

PAS wajar memain peranan sebagai orang tengah dalam mendamaikan antara kedua parti politik Melayu Islam yang berkonflik ini. Jajaran politik perpaduan ummah yang telah menginsafkan semua pihak khasnya pasca PRU 14 lalu sewajarnya diangkat dan dimartabatkan bersama.

Sebagaimana disentuh oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan dasarnya dalam Muktamar PAS, model perpaduan yang dibina Rasulullah SAW di Madinah sehingga termaktubyna Sahifah Madinah yang membawa kepada pembentukkan Negara Islam pertama perlu dijadikan model ikutan kita. Apabila telah bersatu umat Islam dibelakang Baginda, yang bermuafakat meletakkan Allah dan Rasul sebagai rujukan, terbentuklah masyarakat madani di Madinah yang majmuk sehingga berjaya mendirikan sebuah tamadun baru dengan Islam sebagai penyelamat seluruh umat manusia.

Negara kita perlukan penyelesaian sebegitu dengan Islam sebagai payung yang memperkukuhkan perpaduan. Kepimpinan PAS jangan sesekali berputus asa tetapi terus berkerja menobatkan jajaran politik perpaduan ummah ini sehingga kita sesama kita dapat mengelakkan perbezaan dan bercantum serta berteduh apa cara sekalipun di bawah payung perpaduan ummah yang dinanti-nantikan oleh anak-anak bangsa.

Hari ini kita tumpukan pada keutamaan semasa dan mendesak iaitu menggabungkan segala sumber tenaga dan kekuatan bagi menghadapi pandemik ini.

Semoga dengan kebersamaan dan kesepaduan kita semua, imuniti kelompok yang mahu disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara dapat dicapai. Dalam waktu yang sama berpakat dan bermuafakatlah kita dalam melakarkan agenda masa depan ummah dengan penglibatan semua.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor