Home Minda Presiden

Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan

1562
SHARE


Minda Presiden PAS

MENCETUSKAN KERAGUAN KERJA SYAITAN


Adalah suatu hikmah yang Maha Agung, bahawa al-Quran ditutupkan penyusunannya dengan Surah al-Nas:

﴿قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ١ مَلِكِ النَّاسِ٢ إِلَهِ النَّاسِ٣ مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ٤ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ٥ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ٦﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang mencipta, memelihara dan menguasai) manusia. (1); Yang Menguasai sekalian manusia. (2); Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3); Dari kejahatan pembisik dan penghasut yang timbul tenggelam. (4); Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5); Iaitu pembisik dan penghasut daripada kalangan jin dan manusia.’ (6).” (Surah al-Nas: 1-6)   

Setelah penyusunan al-Quran itu dimulakan dengan Surah al-Fatihah yang menjadi rukun sembahyang dan wajib dibaca pada setiap rakaat mengikut jumhur para ulama’.

Terkandung dalam Surah al-Fatihah adalah doa yang paling penting daripada Allah SWT yang Maha Rahmat kepada hamba-Nya, khususnya makhluk manusia yang diberikan tugas paling khusus di muka bumi yang sangat mencabar dan terlalu banyak cabarannya. Tugas yang tidak boleh dilakukan oleh makhluk yang lain. Doa itu ialah:

﴿إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ٥ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ٦ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ٧﴾

“Hanya Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. (5); Tunjukilah kami ke jalan yang lurus (benar). (6); Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan pula (jalan) mereka yang sesatkan. (7).” (Surah al-Fatihah: 5-7)   

Setelah Surah al-Fatihah, diikuti pula dengan Surah al-Baqarah, dimulakan dengan firman Allah SWT:

﴿الم١ ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ  فِيهِ  هُدًى لِلْمُتَّقِينَ٢﴾

“Alif, Laam, Miim. (1); Kitab (al-Quran) ini, tiada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. (2).” (Surah al-Baqarah: 1-2)   

Al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia yang diberikan peranan yang berbeza dengan makhluk lain iaitu peranan berpolitik. Perkara ini disebutkan dalam bahasa al-Quran dengan istilah ‘khilafah’ atau ‘khalifah’. Tugas manusia itu diisytiharkan oleh Allah SWT kepada para malaikat yang diciptakan sebelum mereka.

Allah SWT berfirman kepada  para malaikat yang sangat taat kepada Allah SWT yang menjadi fitrahnya:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan (makhluk manusia) seorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah (saling berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.’ (30).” (Surah al-Baqarah: 1-2)   

Para ulama’ telah mentafsirkan secara ijma’, bahawa ‘khilafah’ itu ialah siasah yang bererti politik atau ‘imamah’ yang bererti kepimpinan khususnya kepimpinan negara.

Peranan manusia sebagai khalifah atau berpolitik merupakan salah satu ketetapan Allah SWT selain daripada tugas beribadat, kerana manusia mempunyai naluri bermasyarakat madani dan majmuk.  Peranan ini diterima oleh ahli falsafah bukan Islam, termasuk yang tidak beragama dan ateis (tidak percaya kepada Tuhan).

Rasulullah SAW mentafsirkan ayat tersebut dengan sabdanya:

كَانَتْ بَنُو إسْرائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوْا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوْا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أُعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

“Kaum Bani Israel itu pada zaman dahulu, yang menjadi pemimpin siasah (politik) mereka ialah para anbiya’. Setiap kali matinya seorang nabi, maka digantikan dengan seorang nabi yang berikutnya, dan bahawasanya tiada lagi nabi selepasku, dan akan ada para khalifah (pemimpin yang menggantikan), maka mereka itu ramai.” Para sahabat bertanya: “Maka apakah perintah Rasul Allah kepada  kami, yang wajib kami lakukan?” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Maka tunaikan baiah (janji untuk taat) kepada yang lebih dahulu dilantik, berikan kepada mereka hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka, maka sesungguhnya Allah akan menyoal mereka (pada Hari Kiamat kelak), akan perkara yang diwajibkan kepada mereka.” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)

Rasulullah SAW telah mentafsirkan konsep berpolitik secara praktikal, apabila Baginda SAW menegakkan negara bermasyarakat majmuk di Yathrib yang ditukar kepada nama Madinah (bandar) yang menjadi tempat manusia berkumpul dan pusat bagi memimpin masyarakat.

Selain itu, perlu difahami bahawa Sunnah Nabi tidak boleh disamakan dengan teori negara yang diolah oleh mereka yang menyanjung falsafah Aristotle, seorang tokoh yang dianggap bapa menerusi karyanya Politiká yang bermaksud pengurusan bandar (affairs of the cities). Kemudian fahaman itu menciptakan pelbagai teori dan ideologi berdasarkan akal dan pengalaman manusia, makhluk yang lemah. Sehingga mereka mengadakan hukum sendiri yang tidak diizinkan oleh Allah SWT kerana di luar daripada kemampuan akal mereka.

Betapa pentingnya peranan politik dalam Islam sehingga Rasulullah SAW meletakkan golongan pertama dalam kalangan manusia yang mendapat naungan Allah SWT di Padang Mahsyar ialah para pemimpin. Rasulullah SAW bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبادَةِ اللَّهِ تَعَالَى، ورَجُلٌ مُعَلَّقٌ قَلبُهُ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وتَفَرَّقَا عَلَيهِ، وَرَجُلٌ دَعَتهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِب وَجَمَالٍ، فقَالَ: إِنِّى أَخَافُ اللَّه، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصدقةٍ، فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعلَمَ شِمالُهُ مَا تُنفِقُ يميِنُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهِ خَالِياً فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

“Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah di bawah lindungan-Nya (pada Hari Kiamat) yang tiada perlindungan lagi melainkan pelindungan Allah sahaja. Pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, orang yang hatinya sentiasa bergantung ke masjid, dua orang yang berkasih sayang (persaudaraan dengan ikhlas) kerana Allah; bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, seorang yang diajak oleh perempuan bangsawan dan rupawan supaya mengerjakan maksiat lalu dia menolaknya dengan menegaskan: “Aku takutkan Allah”, seorang yang dermawan secara senyap sehingga kemurahannya laksana apa yang disumbangkan oleh tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kirinya dan seorang yang berzikir (ingat kepada Allah) dengan khusyuk bersendirian di tempat yang sunyi sehingga berlinang air matanya (kerana khusyu‘).(Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031)

Golongan pertama yang beroleh naungan Allah SWT ialah seorang pemimpin yang memerintah dan mentadbir dengan adil mengikut petunjuk-Nya. Maka para sahabat RA menyambung tugas politik memimpin negara selepas Rasulullah SAW wafat, apabila terlebih dahulu mengadakan syura (bermesyuarat) bagi memilih pemimpin dengan makna kewajipan berpolitik. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang berada di tempat pengebumian Baginda SAW.

Politik Islam telah berjaya memimpin dunia sehingga beberapa abad memerintah negara yang paling besar dan paling majmuk, sehingga mencipta tamadun yang kemudiannya diciplak oleh tamadun Barat hari ini tanpa elemen hidayah Islam. Adapun kejatuhan umat Islam berlaku akibat kelekaan mereka yang meninggalkan ajaran Islam, sehingga menyebabkan mereka menjadi lemah dan dijajah.

Umat Islam wajib beriman bahawa al-Quran dan petunjuknya wajib ditegakkan sehingga Hari Kiamat, dan tidak harus ditinggalkan sekali-kali.  Walaupun dalam keadaan umat Islam telah mengalami penyakit jahil terhadap agamanya sendiri disebabkan serangan pemikiran oleh penjajah, sehingga menyebabkan berlaku kesalahfahaman yang parah terhadap sebahagian ajaran Islam. Mereka hilang jati diri keIslaman, walaupun masih cinta dan yakin kepada Islam. Penyakit ini telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ، وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Tali yang mengikat teguh pegangan kepada Islam akan dirungkai satu demi satu. Maka setiap satu ikatan dirungkai, maka berselerakan penganutnya lalu berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertamayang dirungkai ialah hukum pemerintahan (politik) dan perkara yang terakhir dirungkai ialah solat (sembahyang). (Riwayat Ahmad 22160)

Umat Islam mengalami musibah dengan kehilangan kuasa politik sepenuhnya pada awal abad yang lalu, setelah kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah kerana kelemahan dalaman umat Islam sendiri. Satu demi satu wilayah Islam dijajah dan merebaknya kejahilan agama.

Namun begitu, umat Islam tidak pernah menyerah kalah sehingga keseluruhannya mencapai kemerdekaan walaupun hanya pada namanya sahaja. Walau bagaimanapun, kesan serangan pemikiran masih bertapak dalam diri mereka, apabila wujud pemikiran paling beracun yang berusaha untuk menghapuskan kefahaman politik yang wajib ditegakkan.

Snouck Hurgronje, seorang tokoh orientalis yang berasal dari Belanda menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghadapi kebangkitan semula Islam ialah menghalang para ulama’ yang terus membawa ajaran menegakkan kembali Khilafah (politik).

Langkah ini ternyata apabila para ulama’ yang paling awal menentang campur tangan penjajah dan mengajar ajaran politik Islam, disingkirkan secara keras dan halus. Malahan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, dipenjara dan dibuang keluar dari tanah airnya. Bahkan ada yang dihapuskan daripada catatan sejarah.

Seterusnya mereka menyebarkan langkah ‘tasykik’ (meragukan dan menyebarkan rasa waswas) teradap ajaran Islam, khususnya kefahaman politik dengan menyamakan politik Islam dengan yang lain. Mereka meletakkan Islam dalam satu bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor, menipu dan berpolitikus (seperti tikus) yang merosakkan. Tindakan itu penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam.

Pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka. Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam.

Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu. Dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik.

Ingatlah bahawa Allah SWT telah memberikan amaran melalui firman-Nya pada akhir Surah Muhammad:

﴿هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ  وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ  وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ  وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) nescaya Dia (Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; dan setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu lagi.” (Surah Muhammad: 38)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Jumadal Akhirah 1442 / 27 Januari 2021