Home Berita PAS Melaka

Aduan rakyat : Gangguan babi hutan di kampung Sungai Tuang

554
SHARE

Oleh : Zul Sham Mahat

MASJID TANAH, 26 Jan: Beberapa kawasan di persekitaran Kampung Sungai Tuang termasuk kawasan halaman rumah sering diganggu babi hutan yang turut merosakkan tanam-tanaman penduduk kampung.

Menurut seorang penduduk kampung Casper Grootenhuis Abdoel Whahid, 50, yang ditemui berkata persekitaran rumah beliau menjadi sasaran haiwan ini kerana rumah beliau berdekatan kawasan paya dan belukar.

“Haiwan ini biasanya akan datang pada waktu malam yang sunyi. Mereka makan dan cabut tumbuhan-tumbuhan kecil. Rosakan rumput di halaman rumah saya,” ujar beliau.

Beliau yang merupakan seorang Muslim berasal dari Belanda dan telah tinggal di sini lebih 10 tahun, mendakwa haiwan ini semakin membiak dan sukar untuk dihapuskan.

Casper Grootenhuis Abdoel Whahid

Beliau yang ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semalam berkata, beliau juga telah berusaha sendiri minta bantuan dari pihak Perhilitan sebelum ini namun tindakan yang telah diambil agensi itu tidak memadai kerana haiwan ini masih lagi berkeliaran.

“Dua tahun lepas haiwan ini tidak banyak seperti sekarang. Namun sejak akhir-akhir ini haiwan ini semakin membiak.

“Pihak Perhilitan pernah datang dan menangkap menggunakan sangkar besar dan operasi menembak haiwan ini juga ada dijalankan. Namun hanya untuk sementara sahaja. Selepas itu mereka (Perhilitan) tidak datang lagi,” ujar beliau hampa.

Norazli Mohd Zain

Sementara itu seorang lagi penduduk yang ditemui Norazli Mohd Zain, 50, yang tinggal menyewa di sebuah rumah di kampung ini pula berkata haiwan ini sering mencari makan di belakang rumah sewa beliau.

“Banyak tanaman seperti pokok pisang, ubi kayu dan serai musnah dikerjakan haiwan ini. Semak samun kawasan belakang rumah sewa saya juga jadi tempat tinggal babi hutan” ujar beliau.

Dakwanya, beliau pernah membuat aduan tentang masalah yang dihadapinya ini, namun masih belum ada tindakan susulan.

“Dulu saya pernah mengadu tentang masalah ini pada sidang kampung tapi sampai sekarang belum ada lagi tindakan.

“Yang saya risau, binatang ni pun boleh mendatangkan penyakit selsema misalnya kalau tidak dikawal atau dimusnahkan,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, haiwan perosak babi hutan ini juga berpotensi untuk membahayakan pengguna jalan raya kerana sering di lihat berada di atas jalan raya.