Home Artikel PAS Johor

Menang Secara Bergaya, Kalah Secara Bermaruah

512 views
SHARE

MUAR : “Dalam PRU 14 yang akan datang, PAS harus memastikan akan menang secara bergaya atau kalah secara bermaruah.” Begitulah kata-kata Saudara Rusman Kemin, Pengarah Pilihanraya BPPNJ dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Muar Kali ke 33 di Pusat Tarbiyah Pas Kawasan Muar, Parit Pechah, Muar, baru-baru ini.

Menurut beliau, kesungguhan kita dalam menghadapi PRU 14 adalah kekuatan utama lebih-lebih lagi dalam gerak kerja yang benar-benar selari dengan landasan Islam iaitu mendapatkan keredhaan Allah sekali gus memperluaskan syiar Islam.

Beliau juga menegaskan peri pentingnya para amilin PAS menjaga niat kerana Allah dalam setiap tindakan dan pelaksanaan program. Setiap gerak kerja perlu menepati syariat dan membawa imej Islam yang baik. Contohnya menjaga imej peribadi dengan amalan rutin solat berjemaah walau di mana situasi, istiqamah dengan amalan sunat seperti tahajjud dan menjaga kebersihan dan tatacara kehidupan seorang muslim yang baik.

Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, YDP Pas Kawasan Muar, Tuan Hj Abd Aziz Talib telah memetik satu firman Allah dari Surah As Syaff : Ayat 4 yang bermaksud, ” Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

Beliau menekankan tentang pentingnya gerak kerja secara berjemaah yang sistematik tersusun di samping menjaga disiplin dan adab untuk mengekalkan ukhuwah sesama ahli.