Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

MEMALI SIRI 4 | Santai Bersama Balu Syuhada

688
SHARE


Siri4
Santai bersama balu syuhada

Hari ini saya ambil masa hampir 2 jam santai bersama Puan Solehah balu As Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud @ Ustaz Ibrahim Libya dan Puan Siti Mariam balu As Syahid Zamri Mat Isa.

Kita pernah tengok filem Bukit Kepong yang ditayangkan di kaca TV, walaupun polis dan komunis masing² bersenjata, namun kita tetap rasa geram, marah dan sangat simpati, kerana polis mati dalam keadaan begitu dan meninggalkan anak isteri yang sangat pilu, mengalir airmata kesedihan memikirkan bagaimana keadaan mangsa ketika itu.

Wallahi, peristiwa Memali lebih dahsyat dari apa yang pernah kita tonton dalam filem Bukit Kepong di TV, pihak berkuasa mengarahkan anggota polis yanng lengkap bersenjata, membaham rakus orang kampung yang tidak berdosa, mereka hanya pertahankan diri dalam kawasan rumah kayu, tanpa senjata canggih, yang ada hanya parang kampung, namun berbekalkan semangat menentang kezaliman sang penguasa, yang ingin menahan guru kesayangan mereka dibawah akta zalim ISA.

Puan Siti Mariam yang ketika itu hamil 4 bulan dan menjaga anaknya Mohd Nazrul Akmal 1 tahun 6 bulan dirumah mereka, terpaksa berpisah dengan suami yang ditembak mati dalam peristiwa Memali. Beliau langsung tidak sempat melihat suaminya, dan hanya dibawa melihat kubur hampir seminggu selepas kejadian.

32 tahun lalu, ketika peristiwa Memali, Puan Solehah sempat riba suaminya yg ditembak dengan senjata, rebah tidak bermaya, Si suami sempat bertanya, abang kena apa? Puan Solehah jawab, abang dah kena tembak. Dalam keadaan lemah dan darah tidak henti keluar, sambil senyum Ustaz Ibrahim kata pada isteri kesayangannya, Alhamdulillah apa yang abang cita²kan (mati syahid) akan tercapai. Cerita Puan Solehah dalam keadaan bagai berkaca di matanya.

Ketika itu juga datang Puan Aisyah Ahmad, salah seorang murid Ustaz Ibrahim, mohon maaf salah silap dan minta halalkan ilmu yang dipelajari, dalam keadaan tersebut, datang anak Puan Aisyah maklumkan ayah dah kena tembak, maka beliau berlalu pergi melihat suaminya telah pun gugur syahid.

Belum pun sempat Ustaz Ibrahim menghembuskan nafas terakhir, Puan Solehah diarahkan dengan diacukan senapang supaya meninggalkan suaminya dan menyerah diri, di situlah kali terakhir beliau menatap wajah suami tercinta.

Anaknya Nurul Syuhada yang ketika itu baru berusia 10 bulan dan Mohd Irsyad Zamani yang berusia 3 tahun hilang dari pangkuan dan diambil oleh sanak saudara yang lain. Puan Solehah terus bercerita bagaikan baru semalam peristiwa hitam itu berlaku.

Katanya, ketika berjalan keluar dari rumahnya menuju ke trak polis, beliau melihat sendiri ramai orang² kampung yang cedera ditembak bergelimpangan di halaman rumahnya, berlumuran darah merah, luka parah, ada juga yang tidak bergerak lagi. Mereka yang ditahan dan ditangkap dan dibaringkan ditepi jalan, ada yang disepak terajang, beliau hanya mampu melihat dengan penuh sayu dan sedih sebelum dibawa bersama muslimat yang lain menaiki trak ke balai polis Tanjung Pari, maka saat tersebut bermulalah saat ngeri menjadi orang tahanan yang kemudiannya bertukar ke kem tahanan di Sungai Petani, disana juga pelbagai soal siasat dan paksaan dikenakan dengan tujuan untuk menggambarkan Ustaz Ibrahim mengajar ajaran sesat.

Bersambung…

Mohamad Zuhdi Mat Piah
Anak Mangsa Memali 1985.