Home Berita PAS Melaka

Melaka Indah : Masjid Sultan Abdullah (MASA) Kebanggaan Orang Masjid Tanah.

3691
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

Masjid kami cantik!

Masjid Sultan Abdullah (MASA) Masjid Tanah kini boleh dianggap sebagai mercutanda kepada Masjid Tanah kerana keindahan dan keunikan rekabentuknya. Ia dibina dengan bercirikan timur tengah dan berwarna putih. Tidak banyak kita lihat masjid yang mempunyai rekabentuk seperti ini.

Masjid ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 17 Mei 2019 lepas. Pada hari perasmian itu juga masjid ini yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Jamek Putra ini juga dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah sempena nama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong itu.

Masjid dengan kos pembinaan bernilai RM6.5 juta itu mula dibina pada 2015 dan siap sepenuhnya pada September 2017. Ia dibina bagi menggantikan bangunan lama masjid yang telah dibina berpuluh tahun dahulu yang lebih dikenali sebagai Masjid Jamek Putra.

Masjid Sultan Abdullah ini juga bukan sahaja cantik, tapi ia turut dimakmurkan dengan baik. Masjid ini memang aktif dengan pelbagai aktiviti. Penulis difahamkan hampir setiap malam ada kuliah agama dijalankan di situ.

Penulis yang beberapa kali berkesempatan bersolat jemaah di situ mendapati memang ramai yang datang bersolat jemaah di situ. Pada hari Jumaat juga selalu ada pihak-pihak yang menyediakan jamuan makan untuk disedekahkan kepada yang datang untuk solat Jumaat.

Selain itu MASA ini juga dikatakan sering menjadi rebutan kepada pasangan-pasangan yang ingin bernikah untuk melakukan majlis akad nikah mereka di sini. Menurut salah seorang aktivis masjid ini, kadangkala sehingga ada tiga majlis akad nikah dalam sehari. Wow!

Penulis tanpa rasa ragu-ragu mengajak semua pembaca terutama dari luar Negeri Melaka untuk datang melawat masjid kami, Masjid Sultan Abdullah Masjid Tanah bila-bila anda berkunjung ke Melaka. Datanglah imarahkan masjid ini dengan solat berjemaah sambil melancong. Jangan lupa juga berbelanja di Bazar MASA yang terletak di perkarangan masjid ini!

Datang ye! Masjid kami cantik!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan Dan Media PAS Negeri Melaka