Home Berita PAS Pahang

Mekanik ARC Kedah dan Selangor baikpulih motosikal tenggelam banjir di Sabai

138
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 17 Jan :: PAS Negeri Kedah dengan kerjasama PAS Kawasan Bentong telah berjaya menganjurkan program menghidupkan enjin motosikal mangsa banjir di sekitar DUN Sabai, Sabtu lalu.

Program julung kali diadakan di Bentong ini menampilkan kepakaran dan bantuan penuh tenaga kerja daripada pasukan Alternative Riding Club (ARC) Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS), Dewan Pemuda PAS Kedah dibantu ARC Selangor.

Menurut Ketua Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi (LKKR) PAS Kawasan Bentong, Zairul Azizan, seramai 50 orang ‘mekanik’ ARC bertolak dari Kedah pada 14 Januari lalu.

Program dimulai dengan perasmian ringkas gimik sumbangan disampaikan Timbalan Pengarah ARC Kedah, Ustaz Azamudin Zainudin kepada Pengarah DUN Sabai merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak.

Turut bersama adalah Setiausaha PAS Kawasan Bentong, Ismail Bakar, Ketua PAS Cawangan (KPC) Bandar Karak, Nakhowi Sameon dan wakil ARC Bentong, Faiz Bahawi.

Sebanyak 25 buah motosikal  daripada 30 buah yang dihantar oleh orang ramai berjaya dihidupkan.

“Saya mewakili PAS Kawasan Bentong merakam setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian pihak ARC Kedah hadir ke Bentong menjayakan program ini.

“Semoga kerjasama baik ini dapat diteruskan  lagi di masa akan datang melalui program-program yang bakal dirancang bagi memperkenalkan lagi ARC ke tengah-tengah masyarakat,” ulas Zairul.

Usai tamat program, pihak ARC Kedah berbesar hati menghadiahkan senaskhah al-Quran dan dua botol minyak enjin kepada setiap pemilik motosikal yang terlibat banjir bertujuan memudahkan mereka untuk urusan servis kedua.

Selain Timbalan Pengarah, delegasi ARC Kedah turut diiringi Ketua Unit Kebajikan ARC, Abang Cop dan Pengerusi Kebajikan Kulim, Ustaz Mohsin serta Pengerusi Yayasan Amal Kedah, Zulkifli Baharom.