Home Berita PAS Melaka

Medium penulisan adalah alat sebaran dakwah, siasah dan tarbiah – Wan Nordin

48
SHARE

Oleh WIRDAWATI NAZWIR

AYER KEROH, 10 Ogos: Medium penulisan adalah alat sebaran dakwah, siasah dan tarbiah, justeru, amilin perlu dipersiapkan bagi membantu kepimpinan dari sudut penyediaan bahan dan mampu memberi respons kepada pelbagai isu dan permasalahan.

Demikian dinyatakan Ketua Pengarang Harakah (Cetak), Wan Nordin Wan Yaakob semasa menyampaikan syarahannya dalam Bengkel Penulisan PENA 2021 yang berlangsung secara dalam talian pada Sabtu lepas.

“Sebagai prasyarat wajib, penulisan yang terhasil mestilah bersandarkan kepada kehendak agama dan perlembagaan parti,” tambahnya.

Bengkel anjuran Akademi Penerangan, Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPMB DMPM) itu telah dilaksanakan di dalam dua sesi iaitu pagi dan petang, masing-masing disertai oleh seramai 60 dan 52 orang peserta dari kalangan Muslimat seluruh negara.

Program sesi petang bermula dengan kata-kata aluan dan taklimat oleh moderator yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Akedemi Penerangan LPMB DMPM, Siti Salwani Mohd Kassim.

Melalui pengisian kursus ini, peserta diberi pendedahan berkaitan penulisan kenyataan media dan kemahiran menganalisa isu.

Dalam sesi terakhir yang tamat pada jam 5.30 petang, peserta telah membuat latihan penulisan kenyataan media dan diberi peluang untuk berbincang bersama pembentang.

Bengkel yang berjalan lancar dengan komitmen yang memberangsangkan daripada peserta telah berjaya menghasilkan beberapa penulisan yang bagus berdasarkan kepada komentar penceramah terhadap latihan yang dihasilkan oleh peserta.

Ucapan penutupan dan taujihat telah disampaikan oleh Ketua Penerangan DMPM, Dr NajihatussalehahAhmad.

Rata-rata peserta Bengkel PENA 2021 secara keseluruhannya mengakui bahawa bengkel ini telah berjaya mencapai objektif pelaksanaannya.