Home Sekali Serban Dililit

Media Baru & Akhlak Pejuang Siber

1989
SHARE

Sekali Serban Dililit. Siri 80

06 Safar 1439 / 26 Oktober 2017

MEDIA BARU & AKHLAK PEJUANG SIBER

Oleh : Nasrudin bin Hassan


1. Media baru dengan aneka aplikasinya adalah anugerah Allah swt buat ummat manusia. Bijak dan betul cara mengendalinya adalah satu rahmat yang besar. Sebaliknya gagal mengekang fitnah dan adab melayarinya, mengundang celaka dan sengketa. 

2. Ia adalah medium yang sangat berkesan untuk menyebarkan maklumat dan menyimpan data. Sebagaimana ia juga menjadi “senjata” pemusnah bagi skuad pembunuh karektor dan penyambung lidah syaithan.

3. Terpulang kepada penggunanya. Media baru hanya alat dan teknologi yang kesannya tergantung kepada insan yang mengurus dan menyelia. Bahasa mudah, media baru ini boleh menjadi “mesin” untuk menghasilkan pahala sebanyak yang dikehendaki sebagaimana ia juga boleh menjadi “kilang” memproses dosa yang tidak terkira besar dan beratnya. 

4. Sebagai anggota Parti Islam Se Malaysia (PAS), media baru sayugianya diuruskendali dengan adab, akhlak Islami dan penuh tanggungjawab. Mengambil kira faktor dosa dan pahala serta syurga dan neraka.

5. Meskipun beraksi di cybernet dan alam digital, kita tetap tidak terlepas dari pemantauan Raqib dan Atid yang tidak pernah cuai menjalankan tanggungjawab mereka mengekori perlakuan umat manusia. Bahkan Allah swt., sifatNya adalah tuhan yang Maha Mengetahui.

6. Justeru itu, wajarnya media baru dimanafaatkan sepenuhnya untuk :

~ menyebarkan risalah perjuangan Islam,

~ menangkis fitnah terhadap Islam,

~ memberi pencerahan ke atas apa jua bentuk kekeliruan terhadap Islam dan perjuangannya dan sebagainya.

7. Menggunakan media baru untuk saling mendedahkan keaiban peribadi sesama sendiri, melondehkan isu dalaman kekeluargaan yang melibatkan krisis suami isteri dan anak-anak, copy dan paste maklumat yang tidak pasti, create dan share perkara yang tidak benar adalah di luar daripada skima akhlak Islam yang murni.

8. Malah tindakan sedemikian bukan pedoman dan peribadi anggota Parti Islam Se Malaysia (PAS). Meskipun mereka mendakwa sebagai ahli PAS atau mewakili mana – mana agensi PAS, ketahuilah bahawa dakwaan mereka adalah palsu dan PAS tidak boleh memperakui mereka yang memanjangkan lidah syaithan di media baru.

9. Kita semua sedar, medan media baru kini terdedah kepada “fake account” dan “nick name” yang terlalu banyak. Sebahagian mereka mendakwa sebagai ahli dan mewakili PAS, tetapi membuat “status” dan “posting” yang bukan sahaja tidak menguntungkan PAS tetapi memulangkan persepsi negatif kepada PAS.

10. Semua ahli PAS dan warga netizen yang menyokong serta bersimpati dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan taktik “perang saraf” yang dilancarkan oleh musuh Islam dan juga musuh PAS.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.