Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Medan Pilihan Raya Adalah Tugas Jihad

1765
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 05

MEDAN PILIHAN RAYA ADALAH TUGAS JIHAD

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Jihad menurut perspektif Islam sangat luas maknanya. Ia menuntut kepada kesungguhan dan pengorbanan bagi menegakkan syariat Allah di atas muka bumi ini. Jihad sebegini adalah yang diiktiraf di dalam Islam. Adapun jika sesuatu tugasan dilakukan dengan niat untuk kemasyhuran atau habuan dunia, maka tidak di nilai sebagai jihad.

2. Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai orang yang berperang kerana harta rampasan perang, kemasyhuran dan ingin menunjukkan keberanian, lantas baginda SAW bersabda :

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah maka dia berperang di jalan Allah”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

3. Sekiranya membuang perkara yang menyakitkan manusia di tengah jalan dikira sebagai pahala sedekah, bagaimana pula sekiranya tindakan yang menghalang kezaliman dan penganiayaan? Sudah tentu ia lebih besar ganjarannya dan dikira sebagai jihad.

4. Dalam konteks pilihan raya yang diamalkan di negara kita, ia juga menjadi medan jihad yang perlu difahami oleh semua umat Islam dan mesti dilunaskan kewajipannya.

5. Medan pilihan raya menjadi medan jihad yang diberi ganjaran pahala apabila :

1) Kempen yang dilakukan sepanjang pilihan raya adalah untuk mengajak manusia tunduk kepada tuntutan Islam.

2) Pengorbanan masa, tenaga, wang dan idea adalah untuk memenangkan parti yang memperjuangkan agama Allah agar terlaksananya pemerintahan Islam secara menyeluruh.

3) Berusaha mencegah kemungkaran serta tidak bersekongkol dan memberikan mandat kepada pemimpin yang tidak mahu melaksanakan syariah Allah.

6. Justeru, setiap pengundi mestilah melunaskan tanggungjawab dalam medan pilihan raya ini bagi memastikan pemimpin yang dipilih adalah pemimpin yang benar-benar layak untuk melaksanakan perintah Allah bagi menegakkan agama-Nya dan mengurus tadbir kehidupan menurut panduan agama.

9 Syaaban 1439H / 25 April 2018 (Rabu)

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

 

Sila muat turun bagi tujuan cetak dan sebaran melalui pautan di bawah:

risalah untuk pengundi – bil 05