Home Artikel PAS Kedah

MB: “Lepas habis mengaji (belajar) ni, nak pi masuk universiti mana?”

1647
SHARE

MB: “Lepas habis mengaji (belajar) ni, nak pi masuk universiti mana?”.

Pelajar: “Saya nak masuk UKM”.

MB: “Laa, awat tak masuk USM. Saya mengaji situ dulu”.

Inilah dialog antara YAB Menteri Besar Kedah Tuan Haji Sanusi bersama salah seorang pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, ketika sesi lawatan YAB Menteri Besar ke sekolah berkenaan pagi ini. YAB Menteri Besar terlebih dahulu bertanya kepada pelajar berkenaan, universiti manakah menjadi pilihan setelah tamat belajar kelak.

Sesi lawatan tersebut adalah bersempena dengan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah kali ke-6 sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 17 Mei yang lalu.

Hari ini adalah hari pertama persekolahan bagi Tingkatan 5 dan 6. YAB Menteri Besar hadir meninjau keadaan sekolah dalam era ‘new normal’ setelah dunia dilanda pandemik Covid-19. Keterujaan begitu jelas terpamer pada wajah para guru dan pelajar-pelajar apabila menyambut ketibaan YAB Menteri Besar seawal jam 7.45 pagi di pintu pagar sekolah.

Menurut salah seorang guru yang bertugas, sebelum ini bilangan kelas untuk pelajar Tingkatan 5 berjumlah 11 buah kelas. Namun kini, jumlah itu bertambah menjadi 20 buah kelas setelah SOP penjarakan sosial dilaksanakan.

Selain itu, SOP yang lain seperti pemeriksaan suhu badan dan mencuci tangan menggunakan ‘hand sanitizer’ turut dipraktikkan sebelum pelajar memasuki pagar sekolah.

Lawatan hari ini turut dihadiri oleh YB Brig. Jen. (B) Dato’ Najmi Ahmad, Exco Pendidikan dan Sumber Manusia, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah,Tuan Abdul Aziz Selaiman, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Tuan Azhari Bin Abdul Rashid, Pengetua SMK Mahsuri, Puan Sa’adiah Bt Abdul Samad, Pengerusi PIBG SMK Mahsuri, Encik Abdul Razak Bin Jusoh.

Di akhir sesi lawatan, YAB Menteri Besar melahirkan rasa puas hati dengan tahap pematuhan dan kebersihan yang ada di SMK Mahsuri. YAB Menteri Besar turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri kerana bersusah payah berusaha untuk memastikan sistem persekolahan dapat diteruskan setelah hampir 3 bulan tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19.

This is MB Kedah

Urusetia Penerangan Darul Aman

UPDA

Kedah Sejahtera Nikmat untuk Semua