Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Masyarakat Mesti Cakna Kes Penderaan Kanak-kanak

100 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Muslimat PAS Pusat
5 Rabi’ul Awwal 1440 | 13 November 2018

MASYARAKAT MESTI CAKNA KES PENDERAAN KANAK-KANAK

1. Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) merasa sangat hiba dan simpati dengan kes kematian bayi berusia 11 bulan akibat didera di rumah pengasuh, Bandar Baru Bangi beberapa hari lalu. Berdasarkan rekod sepanjang 6 bulan pertama tahun 2018, terdapat 199 kes penderaan melibatkan kanak-kanak dalam jagaan pengasuh.

2. Pada bulan Julai yang lalu, dua kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh. Seorang bayi meninggal dunia dan dimasukkan ke dalam peti sejuk manakala seorang lagi lebam di anggota badan dan retak di tempurung kepala akibat jatuh di rumah pengasuh. Semua kes yang dipaparkan tidak pernah terbayang oleh akal yang waras.

3. Kes-kes yang berlaku menunjukkan sikap segelintir manusia sudah tenat sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang terkutuk terhadap bayi dan kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa. Masyarakat pada hari seolah-olah sangat jauh dengan cara hidup Islam. Tekanan hidup dan keperluan mendesak terhadap wang sanggup hilang pertimbangan diri.

4. Berdasarkan kaedah, ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, maka DMPP menggesa seluruh masyarakat agar sentiasa cakna, prihatin terhadap perkembangan bayi dan kanak-kanak. Ibu bapa yang menghantar anak-anak kepada pengasuh mesti sentiasa mengambil langkah waspada, selidik dan pantau secara berkala keadaan mereka.

5. Sekiranya mana-mana individu yang mendapati terdapat pengasuh yang melakukan penderaan berdasarkan bukti-bukti yang relevan, segera menghubungi ibu bapa, pihak polis dan pihak kementerian untuk mengambil tindakan segera. Terima kasih kepada pihak kementerian yang menyediakan talian bebas tol 24 jam untuk menangani isu ini.

6. Peruntukan undang-undang mesti dilaksanakan secara berkesan. Hukuman yang setimpal harus dikenakan terhadap pesalah dan mampu memberikan pengajaran kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan tersebut. DMPP juga berpendapat peruntukan undang-undang sedia ada mestilah disemak semula sesuai dengan pelbagai perkembangan kes yang berlaku hari ini.

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Pusat