Home Rencana PAS Selangor

Masjid yang dibina atas jalan taqwa – DPPK Sungai Besar

34
SHARE

May be an image of outdoors and monument

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Besar

Masjid Quba memiliki sejarah yang penting di dalam Islam. Ia merupakan masjid pertama yang dibina dalam Islam ketika hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Ketika Nabi SAW dan para sahabat berhijrah sebelum sampai ke Madinah mereka telah singgah di sebuah perkampungan yang bernama Quba. Maka di situlah terbinanya Masjid Quba iaitu masjid pertama yang di bina di dalam Islam.

Pembinaan ini merupakan suatu titik asas yang menunjukkan kepentingan pembinaan masjid dalam pembinaan sesebuah negara dan masyarakat yang bersatu padu. Masjid menjadi tempat mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah solat fardu lima waktu disamping mengukuhkan ukhuwah umat Islam yang pergi menunaikan solat secara berjemaah, menjadikan masjid sebagai institusi terpenting umat Islam. Masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW juga berperanan sebagai tempat pengajian dan juga pentadbiran sebelum diasingkan fungsi pentadbiran pada zaman berikutnya.

Masjid Quba diabadikan pembinaannya dalam al-Quran sebagai masjid pertama yang didirikan atas asas ketakwaan pada Allah SWT seperti mana yang ditegaskan Allah SWT dalam firmanNya.

لَا تَقُمۡ فِيهِ أَبَدٗاۚ لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِۚ فِيهِ رِجَالٞ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِ قُباء كعُمرة

Rasulullah SAW bersabda: “Melakukan solat di dalam masjid Quba sama pahalanya dengan melakukan umrah” (Riwayat Tirmizi)

Sejarah Ringkas Pembinaan Masjid Quba,

Sejarah pembinaan masjid Quba bermula daripada perintah hijrah ke Madinah kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda bersama Saidina Abu Bakar melakukan perjalanan pergi berhijrah ke kota Yastrib atau lebih dikenali dengan nama kota Madinah al-Munawwarah. Pada hari Isnin tanggal 8 Rabiulawal tahun 1 hijrah, Baginda sampai di kampung Quba, sekitar 10 km dari Kota Madinah. Ketika itu, Saidina Ammar mengusulkan untuk membangunkan sebuah tempat yang boleh digunakan untuk tempat beristirehat pada waktu siang untuk Nabi SAW dan ia juga boleh digunakan sebagai tempat solat.

Usul yang disarankan terus dipersetujui oleh Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar dan Saidina Ammar mula mengumpulkan batu-batu yang diletakkan satu persatu, yang ditumpuk satu batu dengan satu batu lainnya untuk membuat masjid. Berkat ketekunan dan kesabaran dengan hati yang mengharapakan reda Allah SWT, akhirnya selama 4 hari, telah berjaya berdirinya masjid pertama umat Islam yang dinamakan sebagai Masjid Quba (yang diambil berdasarkan nama tempat tersebut).

Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibangun oleh Nabi Muhammad SAW dan yang pertama dalam sejarah Islam. Bahkan Nabi SAW sendiri yang meletakkan batu kiblat pada masjid tersebut. Setelah Nabi dan para sahabat selesai membangunkan masjid Quba ini (Quba pada masa dahulu belum dimasukkan dalam persempadanan Kota Madinah), mereka melanjutkan perjalanan kembali menuju ke kota Madinah, tepat pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiulawal tahun 1 Hijrah. Nabi Muhammad SAW tiba di Kota Madinah.

Kredit : Penulis

16 Oktober 2021 | 9 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor