Home Berita PAS Perak

Masjid dan surau pusat perkukuh ukhuwah, bina generasi berakhlak mulia – Idris

232
SHARE

17 September 2022 – Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG : Masjid dan Surau mempunyai peranan yang besar terutama dalam membentuk masyarakat Islam yang berilmu dan berakhlak mulia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Haji Ahmad berkata, “Masjid dan surau adalah tempat untuk kita bersosial dan mengeratkan ukhwah antara satu sama lain kerana di sinilah tempat kita berkumpul dan melaksanakan ibadah secara berjemaah.

Asas pembinaan masyarakat bermula di masjid sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah 1444 tahun yang lalu.

“Nabi Muhammad SAW menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran negara, pembinaan aqidah dan pendidikan ilmu agama. Oleh itu, perlu kita menanam kewajipan dalam diri untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ibadah dan kemasyarakatan.

Tambahnya, pentadbiran masjid diharap cakna dan mengambil berat tentang masyarakat sekeliling terutama golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

“Dalam masa yang sama, anak-anak kariah itu sendiri mestilah dekat dengan masjid dan surau agar wujud hubungan dua hala yang mengukuhkan lagi ukhuwah dalam komuniti.

“Masjid dan surau juga perlu mengambil berat golongan muda dengan memastikan mereka memiliki pengetahuan dalam urusan agama serta tidak terjebak dengan gejala sosial dan penyelewengan aqidah.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pembinaan semula Surau Al-Islahiah, Kampung Padang Bola, Trong dekat sini petang ini.

Hadir sama, ADUN Trong, Jamilah Zakaria, Penghulu Mukim Trong, Shahrul Nizam Abdul Rashid dan Pengerusi NGO Mukim Trong, Haji Hamdan Haji Murat.

Turut serta, Ketua Balai Polis Trong, SM Anuar Idris, Setiausaha PERKIM Negeri, Haji Khalid Mohd. Noor dan Ahli Majlis Perbandaran Taiping merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail.

Pada majlis tersebut, Idris turut menyampaikan sumbangan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bernilai RM10,000 kepada pihak surau berkenaan.

Beberapa program dianjurkan sempena perasmian surau tersebut seperti sambutan Hari Malaysia, pertandingan mewarna dan jamuan rakyat Keluarga Malaysia.