Home Berita PAS Pahang

Wanita muda jayakan Karnival Wanita Malaysia Sejahtera di Bukit Rangin

107
SHARE

Oleh FATIEMAH SAIFUDDIN

PAYA BESAR, 17 Sept : Karnival Wanita Malaysia Sejahtera anjuran HALWA DUN Panching dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching telah diadakan di Arena Terbuka Dato Seri Abdul Manan, Bukit Rangin, pagi tadi.

Program yang bertujuan untuk menyantuni wanita muda di sekitar DUN Panching itu dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan sukaneka seperti boling padang, batu seremban dan anyam ketupat.

Tidak ketinggalan juga kanak-kanak turut diraikan dengan acara mewarna dan mencipta replika bangunan.

Selain itu, acara kemuncak karnival itu ialah sambutan Hari Lahir bagi mereka yang lahir pada bulan Ogos dan September serta pelbagai cabutan bertuah.

Antara yang hadir ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor, yang mengambil kesempatan beramah mesra dengan para hadirin yang mengunjungi karnival tersebut.

Beliau juga turut merasmikan majlis penutupan karnival tersebut dan berkesempatan berkongsi permusafiran beliau ke negeri Terengganu baru-baru ini.

Sebelum itu karnival itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

Di dalam ucapannya beliau memberikan pesanan-pesanan bernas kepada golongan muda bahawa umur merupakan anugerah Allah SWT.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Paya Besar, Fitri Abdullah, dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Suriati Razali.