Kenyataan Media PAS Kedah
MASA SUKAR, KITA SAMA-SAMA MEMBANTU
Assalamu’alaikum waruhmatullah Wbr.,
Seperti termaklum negara kita sekali lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya mulai 1-14 Jun 2021.
Cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh rakyat ialah terhentinya hampir keseluruhan kegiatan ekonomi. Kalangan rakyat terbanyak yang bergantung hidup dengan kegiatan ekonomi akan hilang pendapatan atau terjejas teruk sepanjang pelaksanaan PKP sepenuhnya itu. Namun apabila maslahat menjaga nyawa lebih penting, kerajaan terpaksa membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.
BPPNK sangat mengharapkan agar JPKK sebagai ‘mata telinga’ kerajaan di peringkat akar umbi sentiasa memantau dan mengenalpasti kalangan rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan. Selaraskan dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat/Penyelaras agar tiada yang terlepas pandang dari menerima bantuan dari kalangan mereka yang layak menerimanya. Pusat Khidmat akan menyelaraskan dengan Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) di peringkat Daerah, dari aspek agihan dan edaran bantuan.
Saya ingin meminta semua PAS Kawasan agar segera menubuhkan Bilik Gerakan Bantuan Pandemik Covid dalam usaha menangani bebanan rakyat. Khidmat Malaysia di peringkat kawasan juga hendaklah diaktifkan segera dan bertugaslah mengikut SOP yang ditentukan pihak berkuasa.
Di samping ada rakyat yang terkesan, ada juga di kalangan kita yang masih mempunyai kelebihan harta. Masa inilah masa terbaik untuk kita sama-sama membantu meringankan penderitaan mereka. Hulurlah sumbangan kepada yang memerlukan. Ia juga boleh dibuat melalui Tabung Bantuan Pandemik Covid yang diwujudkan di setiap kawasan.
Akhirnya, jangan lupa berdoa setiap hari, ke hadrat Allah SWT agar bencana pandemic Covid-19 ini terangkat dari muka bumi ini. Allah sebaik-baik Pelindung dan Pemberi Pertolongan.
Sekian, Terima Kasih,
Ahmad bin Yahaya
Pesuruhjaya PAS Kedah
17 Syawal 1442/29 Mei 2021
Alor Setar, Kedah.