Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

MAS Digesa Hentikan Penyediaan Arak kepada Penumpang

814
SHARE

1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) memandang serius insiden penerbangan Melbourne – Kuala Lumpur MH128 yang terpaksa berpatah balik semula ke Melbourne malam semalam apabila seorang penumpang didapati cuba menceroboh masuk kokpit pesawat dan turut mendakwa membawa bahan letupan akibat mabuk selepas minum arak. Penerbangan tersebut yang berlepas dari Lapangan Terbang Melbourne pada jam 11.11 malam sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur pada jam 5.28 pagi 1 Jun namun terhalang akibat gangguan yang ditimbulkan oleh penumpang terbabit.

2. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, DMPM menggesa MAS mengambil langkah unggul dengan menghentikan khidmat penyediaan arak kepada para penumpang.

3. Pihak MAS tidak perlu ragu-ragu untuk melaksanakan usaha mulia ini kerana pengharaman arak oleh Islam telah pun ditetapkan semenjak lebih 1,400 tahun dahulu dan telah terbukti manusia hidup tenang tanpa arak. Sebaliknya dengan mengamalkan minuman arak, hidup manusia menjadi lintang-pukang seperti manusia yang tidak bertamadun dan seterusnya akan memberikan kesan yang buruk kepada individu tersebut, keluarga dan masyarakat sekeliling.

4. Perkhidmatan penerbangan tanpa arak juga telah menjadi amalan oleh syarikat penerbangan seperti Brunei dan Arab Saudi. Hal ini jelas menunjukkan mereka tidak mengalami sebarang kerugian bahkan semakin mendapat tempat di hati para penumpang termasuk yang bukan Islam.

5. DMPM berbesar hati mendoakan kejayaan pihak MAS serta dimurahkan rezeki pada masa akan datang setelah berjaya melaksanakan cadangan untuk memberhentikan perkhidmatan penyediaan arak kepada para penumpang. Hal ini juga merupakan satu berita gembira buat para pekerja MAS yang beragama Islam.

6. DMPM berharap pihak MAS bertanggungjawab untuk sama-sama membawa nama baik Malaysia di mata dunia agar lebih dihormati dan disegani.

7. Akhir sekali, DMPM berharap agar MAS sentiasa dipelihara oleh Allah daripada sebarang kejadian buruk dan seterusnya berusaha untuk mengelakkan insiden seperti ini berulang kembali.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Ramadhan 1438 bersamaan 2 Jun 2017

{jathumbnail off}