Home Berita PAS Johor

Marhaban ya Ramadan : Selamat Menunaikan Ibadah Berpuasa Ramadan

107
SHARE

MARHABAN YA RAMADAN : SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH BERPUASA RAMADAN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam diucapkan kepada junjungan Mulia Baginda Rasulullah S.A.W, ahli keluarga Baginda, sahabat Baginda, Tabi’in, atba’ Tabi’in dan seluruh umat Islam.

Firman Allah S.W.T :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُون.

(Bulan Ramadhan) bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Maka sesiapa di antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa Ramadan, dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa ganti), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

Surah Al-Baqarah : 185

Alhamdulillah dengan izin Allah kita dapat bertemu dengan bulan yang mulia Ramadan Al-Mubarak. Bulan anugerah Allah kepada hamba-Nya umat Nabi Muhammad S.A.W, bulan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada azab api neraka.

Bulan digandakan segala amal kebaikan. Amalan sunat digandakan seumpama amalan fardu. Satu amalan fardu pula digandakan sehingga 70 kali ganda. Bulan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.

Begitulah Maha Penyayang lagi Maha Pengampunnya Allah S.W.T kepada umat akhir zaman ini. Umat Nabi Muhammad S.A.W, umat pilihan Allah S.W.T.

Di kesempatan ini PAS Johor menyeru dan berpesan kepada seluruh umat Islam untuk sama-sama kita merebut peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk kita berlumba-lumba melakukan ketaatan dan amal soleh sebagai bekalan di alam akhirat nanti.

Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk menghidupkan semaksimum yang termampu sunnah Rasulullah S.A.W agar Ramadan kali ini terus menjadi Ramadan yang terbaik untuk kita semua. Siiruu ‘Alaa Barokatillah.

Islam Menyatukan Ummah

Ustaz Abdullah bin Husin
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

1 Ramadan 1443
3 April 2022

#IslamAdilUntukSemua
#IslamMenyatukanUmmah