7 Oktober : Setelah menyelesaikan misi bersama-sama pengundi Port Dickson, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menjalankan misi ziarah di negeri Kelantan Darul Naim ditemani Puan Khadijah Mahmud, Pengerusi Kelab As-Sabiqat DMPM dan suami tercinta.
Ustazah berkesempatan bertemu ahli keluarga saudari Syuhaini yang bakal menjalani pembedahan akibat kanser tulang, di samping menyampaikan sumbangan orang ramai yang bermurah hati untuk membantu saudara kita yang sedang diuji.
Selepas itu, Ustazah diiringi Ketua Muslimat Negeri Kelantan, YB Siti Zailah Mohd Yusoff menziarahi dan menyantuni 2 keluarga anggota Bomba yang terkorban syahid dalam misi menyelamat seorang remaja di Puchong baru-baru ini masing-masing di Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Ustazah kemudian mengakhiri misi ziarah dengan bertandang ke rumah Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar yang baru kematian bonda tercinta.
Sedikit sumbangan, doa dan kata-kata motivasi mengiringi setiap langkah ziarah semoga mereka yang diuji tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa.