Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

PRK P.132 Port Dickson Medan untuk Bekerja

143 views
SHARE

PRK P.132 Port Dickson Medan untuk Bekerja

Nabi SAW bersabda,

إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيًّا
“Sesungguhnya setiap nabi mempunyai ‘hawariy’.” [HR Bukhari]

Hawariy adalah mereka yang berani menyatakan keimanan mereka walaupun di saat ramai yang mengingkari dan mendustakan agama. Mereka adalah golongan yang mengaku sebagai pembantu agama Allah yang beriman dan berserah diri hanya kepada-Nya.

Firman Allah SWT,

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?”. Orang-orang “Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: “Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah). [Surah Ali-Imran: 52]

Perkataan “أنصار الله” yang digunakan oleh hawariy memberi gambaran kepada kita agar menyandarkan perjuangan ini secara langsung kepada Allah. Bererti seruan dakwah harus sentiasa diperjuangkam walau siapa pun yang memimpin kita.

Sesungguhnya tugasan ini tidak hanya terpundak ke atas bahu lelaki, bahkan wanita juga perlu menyumbang di medan dakwah. Orang beriman lelaki dan perempuan perlu saling bekerjasama dan melengkapi dalam berdakwah kerana sasaran dakwah tidak khusus kepada mana-mana jantina.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah, ayat 71,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.”

Oleh itu, mereka yang mengaku sebagai pembantu agama Allah seharusnya menyambung tugas Nabi SAW menyeru manusia kepada Allah dan melawan kekufuran berpandukan manhaj Islam yang sebenarnya tanpa dipengaruhi oleh sebarang doktrin yang dimainkan oleh musuh Islam.

Kita perlu meyakinkan masyarakat bahawa hanya Islam yang mampu memimpin dengan adil dan benar.

Ingatlah bahawa kita bertanggungjawab ke atas setiap tindakan kita. Yang paling penting adalah bagaimana usaha kita dalam menyebarkan Islam dan memastikan kepimpinan yang dipilih adalah mereka yang menjadikan Islam sebagai dasar dalam memimpin. Kemudian, berserahlah diri kepada Allah dalam menentukan hasil terhadap usaha kita.

Bersempena dengan Pilihan Raya Kecil di Port Dickson kali ini, buktikanlah janji kita kepada Allah dengan memastikan setiap tindak-tanduk kita menyumbang kepada penyebaran agama Allah. Yakinlah, hanya Islam yang mampu memimpin kehidupan manusia dengan adil dan benar.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
KETUA
Dewan Muslimat PAS Malaysia
9 Oktober 2018 bersamaan 29 Muharram 1440