Home Berita PAS Kedah

Mantan Setiausaha Politik Mahdzir Khalid sertai PAS

2006
SHARE

Oleh ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 5 Jul: Mantan Setiausaha Politik Dato’ Seri Mahdzir Khalid sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar Kedah menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Naib Presiden PAS, YB Datuk Ustaz Idris Haji Ahmad dalam program Pelancaran Jentera Pilihanraya DUN Pantai Merdeka yang diadakan di Medan Tikam Batu, di sini, malam ini.

Dato’ Ahli Yahaya, 65, sebelum terjun ke dalam politik merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik  (PTD) selama 25 tahun dan pernah bertugas di Kedutaan  Malaysia di Yugoslavia.

Pada tahun 2005, beliau dilantik selaku Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang ketika itu sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Allahyarham Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah.

Dalam ucapannya semasa program tersebut, beliau meluahkan Keyakinan dengan perjuangan PAS yang serius mempertahankan agama Islam dan hak orang melayu selepas melihat UMNO sudah tidak lagi menjadi pilihan dan sandaran majoriti orang melayu dalam kedua isu pokok tersebut.

“Saya nak sebut di sini bahawa pentadbiran Dato’ Seri Muhammad Sanusi jauh lebih baik, jauh lebih hebat daripada bekas-bekas Menteri Besar Kedah daripada UMNO,

“Tidak ada di kalangan pemimpin UMNO di negeri Kedah untuk dibandingkan dengan Sanusi yang ada la ni”. menurutnya  yang pernah berkhidmat di bawah tiga orang Menteri Besar UMNO sebelum ini.

“Orang UMNO ketika ini hanya tinggal 20-30 peratus sahaja di setiap cawangan. Kalau dulu cawangan yang di dalam pekan dan taman-taman ada 500 ke 600 orang tapi sekarang nak buat mesyuarat agung cawangan terpaksa tunggu hingga tengah malam nak bagi cukup korum,”ujarnya yang pernah menjadi Ketua Cawangan UMNO selama 12 tahun.

“UMNO sudah hilang sokongan bukan hari ini tetapi sejak 20 tahun lalu tetapi pemimpin UMNO sentiasa mendabik dada kata masih kuat sehingga saya pernah tanya lapan kerusi Parlimen manakah di Kedah yang nak UMNO tawan selain dari mengekalkan dua yang dok ada tetapi hasilnya keputusan PRU-15 tak ada satu kerusi pun UMNO boleh menang” tambahnya.

Mengulas mengenai kerajaan campuran PH/BN ketika ini beliau menyatakan agak sukar untuk pimpinan dan ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk bekerjasama khususnya dengan DAP memandangkan semua ahli telah ditanam doktrin untuk menolak DAP yang jelas matlamatnya berlawanan dengan perjuangan UMNO.

Beliau yang juga mantan Adun BN Dun Pantai Merdeka (2013-2018) bergiat aktif dalam UMNO di negeri Kedah, turut mengetuai UMNO Bahagian Sungai Petani selama lima tahun sebelum memutuskan untuk keluar parti, setelah melihat kebobrokan dan amalan politik wang yang berleluasa terjadi dalam parti tersebut.