Home Berita PAS Johor

Mansuh SRP: Akan membantutkan rakyat khususnya anak muda memiliki rumah

236
SHARE

Mansuh SRP: Akan membantutkan rakyat khususnya anak muda dalam memiliki rumah?

Kerajaan dituntut memberi penjelasan kukuh berhubung tindakan memansuhkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang diumum akan bermula pada 1 April nanti.

Walaupun boleh beralih kepada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), tetapi ia mungkin membantutkan hasrat pemohon berkemampuan atau berpendapatan tetap untuk memiliki rumah idaman.

Kerana secara realitinya, kebanyakan yang membeli bagi memiliki rumah pertama, mereka sebenarnya bermatlamatkan sebagai ‘rumah selama-lamanya’.

Terutama bagi kalangan Bumiputera di mana mereka bekerjaya, berkeluarga dan bermasyarakat di satu tempat, bukannya mahu asyik berpindah-randah, melainkan ada keperluan tugas atau perkhidmatan.

Sebaliknya, dengan pemansuhan ini menyebabkan pemohon yang layak SRP akan terpaksa berebut dan bersaing dengan pemohon SJKP, ini dikhuatiri ia akan mengurangkan peluang pemohon SJKP itu sendiri.

Tambahan pula pembinaan kediaman di bawah RM300,000 semakin kurang mahu dibangunkan para pemaju hartanah yang lebih ghairah mengaut keuntungan.

Sepatutnya kepada rakyat sendiri khususnya anak muda dibuka dan dipermudahkan ‘peluang’ pemilikan dengan kerajaan memperkasakan skim yang telah sedia ada.

Juga mengadakan mekanisme yang lebih komprehensif untuk rakyat memiliki rumah kediaman. Iaitulah dengan melibatkan sama pelbagai institusi dan badan yang dapat mendukung usaha tersebut termasuk pihak swasta.

Sedarlah, setelah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pemilikan kediaman oleh kaum Bumiputera pun masih di bawah 10 peratus, sedang kaum lain termasuk warga asing lebih ramai memiliki kediaman.

Kedaulatan negara ini mesti dipertahankan dengan rakyat memiliki tanah sendiri. Tentu Kerajaan Madani tidak mahu rakyatnya seperti pelarian di negara sendiri.

Kerajaan baik adalah kerajaan yang sentiasa menyelesaikan masalah rakyat bukannya membebankan rakyat Malaysia khususnya anak- anak muda. Harap kerajaan dapat cari solusi terbaik tentang isu ini.

ROSLAN ABD RAHMAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Muar