Home Artikel PAS Perak

Manifesto Gagasan Sejahtera Perak : Cakna Isu Wanita

266 views
SHARE

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak yakin bahawa tawaran manifesto PAS Perak bersama Gagasan Sejahtera (GS) yang berteraskan lima teras utama iaitu Telus, Amanah, Kebajikan, Wibawa, dan Adil dapat menarik sokongan daripada rakyat negeri Perak.

Manifesto kali ini mengandungi 39 tawaran yang dapat memperlihatkan kesungguhan PAS Perak untuk memerintah negeri ini.

Selaku Ketua Dewan Muslimat PAS, saya melihat tawaran khas yang disediakan untuk wanita adalah munasabah dan tepat pada masanya memandangkan jumlah pengundi wanita sudah melebihi 50% daripada keseluruhan pengundi yang berdaftar.

Hadiah kelahiran untuk setiap anak Darul Ridzuan akan diberikan menerusi satu program yang dinamakan ‘Luv-our-Child’.

Satu usaha berkebajikan secara bersepadu akan dilaksanakan untuk mengupayakan golongan armalah atau ibu tunggal merentasi pelbagai kaum.

Mana-mana warga Perak termasuk para wanita juga layak untuk diberikan insentif RM1000 yang menjalankan perniagaan secara atas talian dan ini merupakan tambahan kepada tawaran yang diberikan oleh PAS Malaysia di mana manifesto PAS Pusat menawarkan bantuan sebanyak RM2000 sebagai modal kepada wanita yang hendak bekerja dari rumah.

Mengambil kira permasalahan kesihatan yang semakin meruncing ditambah dengan kos perubatan yang semakin meningkat, manifesto PAS Perak melalui tawaran Perak Sejahtera juga akan memberi Baucer Percuma Saringan Kesihatan kepada wanita yang tidak bekerja yang berumur 55 tahun ke atas.

PAS Perak juga akan berusaha mewujudkan Pusat Saringan Kanser berkaitan wanita di daerah-daerah luar bandar di bawah seliaan PBT.

Bagi meningkatkan kefahaman agama di kalangan wanita, PAS Perak bersama Gagasan Sejahtera juga akan menyediakan guru-guru halaqat bertauliah di setiap masjid mukim untuk bimbingan khusus kepada wanita.

Tawaran ini juga dilihat akan memberi peluang pekerjaan kepada para graduan wanita dalam bidang agama dan pendidikan Islam.

Selain tawaran-tawaran yang dikhususkan untuk wanita, Manifesto PAS Perak kali ini bersifat menyeluruh dan sangat berkebajikan sesuai dengan misinya untuk membina Perak Sejahtera bagi membahagiakan rakyat keseluruhannya yang meliputi pelbagai kaum dan agama.

Saya yakin dan percaya bahawa semua tawaran dari PAS Perak bersama GS yang dilancarkan minggu lalu dapat membuka mata semua pihak untuk memberikan sokongan kepada PAS Negeri Perak mentadbir Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sekian.

“Perak Sejahtera, Rakyat Bahagia”

Oleh: Dr Hjh Najihatussalehah bt Ahmad
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
11 April 2018