Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Malaysia Bukan Tempat Zionis Bertapak

547
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

MALAYSIA BUKAN TEMPAT ZIONIS BERTAPAK

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius isu sambutan besar-besaran Jerusalem’s Jubilee yang pada awalnya dihebohkan akan berlangsung pada 15 hingga 18 Jun 2017 di Melaka. Sambutan berkenaan dilihat berselindung disebalik upacara keagamaan Kristian padahal simbol yang digunakan dalam poster jelas menunjukkan lambang menorah. Simbol kaki pelita yang mempunyai tujuh tiang lampu tersebut merupakan lambang kebesaran Yahudi termasuk Zionis sekarang ini.

2. Tambahan pula, sambutan ini disokong penuh oleh Jerusalem House Of Prayer For All Nations (JHOPFAN). Sebelum ini dalam beberapa kenyataan terbuka, JHOPFAN telah memberi sokongan terhadap usaha pihak Zionis menggali kawasan dibawah Masjid Al-Aqsa bagi meruntuhkan masjid kiblat pertama umat Islam tersebut.

3. DUPP menghormati upacara agama dan hak bukan Islam di negara ini untuk melaksanakan apa sahaja program keagamaan berdasarkan hak yang diperuntukkan oleh perlembagaan dalam perkara 11. Akan tetapi apa sahaja agenda yang mencalarkan imej agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan sangat dikecam.

4. Umat Islam seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang mencabuli bumi Palestin sejak zaman berzaman. Baitul Maqdis adalah tempat suci umat Islam yang akan dipertahan dengan gadaian nyawa. Bahkan dalam Syariat Islam, masjid Al-Aqsa merupakan tempat ibadat umat Islam yang wajib dipertahan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya: “Daripada Maimunah R.Anha berkata kepada Rasululah: Wahai Rasulullah, berilah padaku satu fatwa tentang Baitul Maqdis. Baginda menjawab: pergilah ke sana dan dirikanlah solat didalamnya. Jika kamu tidak mampu untuk pergi solat disana, maka hantarlah minyak untuk dinyalakan pelita-pelita di masjid Al-Aqsa”. (Riwayat Abu Daud)

5. Rejim Zionis sehingga ke saat ini terus bermaharajalela dan merampas tanah suci umat Islam. Umat Islam sama sekali tidak boleh membiarkan Zionis melebarkan sayapnya di negara tercinta ini. Apa jua upacara yang menyokong tindakan Zionis ke arah bertapak di Malaysia, umat Islam dinegara ini akan membantah dengan sekeras-kerasnya.

6. DUPP turut menyokong kenyataan Ketua Menteri Melaka yang bertegas tidak mahu sambutan berkenaan diteruskan kerana terdapat unsur-unsur menggugat kestabilan dan keharmonian kaum.

7. Terima kasih juga kepada ketua polis negeri Melaka yang telah mengambil tindakan awal menasihati penganjur sehingga sambutan tersebut dibatalkan. Tahniah kepada semua pihak yang prihatin dan bertindak segera menuntut pihak berkuasa membatalkan sambutan tersebut.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

“MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”

MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

10 Ramadhan 1438H / 5 Jun 2017M

 

{jathumbnail off}