Home Berita PAS Johor

Majlis Jalinan Mahabbah Ramah Mesra PAS & UMNO di Sekijang berlangsung meriah

1806
SHARE

Majlis Jalinan Mahabbah Ramah Mesra PAS & UMNO di Sekijang berlangsung meriah

31 Mac 2019,Ahad:
Hujan renyai -renyai yang membasahi bumi Sekijang di keheningan malam yang tenang dan mendamaikan seolah -olah menandakan suatu rahmat dan restu ILLAHI mengiringi pertemuan dan penyatuan kerjasama antara dua buah parti teras orang Melayu demi Islam antara UMNO dan PAS.

Majlis Jalinan Mahabbah dan Ramah Mesra PAS Kawasan Sekijang dan UMNO Bahagian Sekijang bertempat di Restoran D’Tengah Port,yang terletak di salah satu tempat dalam DUN Pemanis telah melakar suatu tinta sejarah dengan pertemuan secara santai anjuran dari UMNO Bahagian Sekijang.

Diketuai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Sekijang ,Encik Maarof Abdul Bin Mutalib dan Normala Sudirman selaku Setiausaha PAS Kawasan Sekijang merangkap mantan calon DUN Pemanis PRU 14 ,kehadiran delegasi pimpinan PAS seramai 15 orang disambut mesra oleh Datuk Dr.Hj.Baharom Bin Mohamed,Ketua UMNO Bahagian Sekijang .

Turut bersama menyambut kedatangan pimpinan PAS Sekijang adalah Tuan Haji Anuar Bin Abdul Manap ,Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang ,Puan Hajah Rahana Binti Mohamad(Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Sekijang dan Tuan Hj.Norsaidil Bin Ibrahim(Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Sekijang ) ,Ketua -Ketua Cawangan UMNO dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Sekijang .

Manakala Datuk Hj.Ayub Bin Rahmat ,mantan Exco Kerajaan Negeri Johor merangkap bekas ADUN Kemelah,salah satu DUN yang terletak di kawasan Parlimen Sekijang selain DUN Pemanis , tidak dapat bersama kerana ada urusan kerja di luar kawasan .

Dalam ucapan alu-aluan ,Datuk Haji Baharom Bin Mohamed merakamkan jutaan terima kasih atas kehadiran delegasi PAS Kawasan Sekijang memenuhi undangan dan mengharapkan dengan hasrat penyatuan ummah melalui muafakat dan kerjasama dalam melakukan kebaikan demi ISLAM akan membela nasib orang Melayu khususnya ke arah mengubah landskap politik negara pada masa akan datang .

Beliau menggesa semua pihak agar berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam membina silaturrahim ini demi pembelaan kepada rakyat secara positif khususnya di dalam DUN Pemanis dan DUN Kemelah yang terletak di kawasan Parlimen Sekijang.

Manakala ,Normala Sudirman yang menyampaikan ucapan mewakili kepimpinan PAS Kawasan Sekijang merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian pihak pimpinan UMNO Bahagian Sekijang yang sudi mengundang mereka ke majlis ramah mesra ini .Beliau menggesa agar hubungan baik yang terjalin ini dapat dipelihara dengan baik berlandaskan keikhlasan ,kejujuran ,sikap pemaaf dan melupakan sengketa lama ,kiranya ada antara kedua pihak .Semoga silaturrahim yang diikat dengan ukhuwwah dan mahabbah ini sentiasa dalam peliharaan ALLAH SWT di dunia dan di Akhirat.

Beliau juga mengharapkan agar hubungan dan kerjasama antara dua buah pihak ini dapat diterjemahkan melalui perkongsian pintar dan diserlahkan melalui kerja -kerja menyantuni rakyat serta pembelaan kepada rakyat marhaen khususnya di kawasan Parlimen Sekijang dalam menggerakkan momentum kebangkitan rakyat ke arah PRU ke 15 ,dalam tempoh beberapa tahun lagi .

“Semangat muafakat ini perlu dibuktikan dan dimulakan oleh kepimpinan kedua -dua buah parti bagi memberi contoh kepada ahli di peringkat akar umbi agar memahami dan menyedari bahawa khidmat terhadap masyarakat perlu diteruskan demi kesejahteraan dan pembelaan terhadap masyarakat secara keseluruhannya”,katanya .

Sambil menikmati jamuan ,kedua -dua pihak serta ahli dari UMNO dan PAS Sekijang kelihatan berbual mesra secara santai bagi mengeratkan silaturrahim dan beramah mesra tanpa rasa janggal dan kekok sekaligus membuktikan bahawa kesungguhan antara mereka dalam mewujudkan penyatuan ummah demi Islam kerana ALLAH SWT ini bukanlah suatu fantasi malahan suatu realiti yang pastinya tidak pernah terfikir dalam minda masing -masing .

Sebelum menutup tirai pertemuan ,kedua -dua pihak mengabadikan autograf di dinding ruangan yang telah disediakan dan mengabadikan kenangan yang pasti akan terpahat indah dalam memori dan diari perjuangan .Laungan kalimah ‘Allahu Akbar’ sebagai azimat dan perkataan ‘Takbir’ sebanyak 3 kali ,di penghujung majlis menandakan semboyan perjuangan mengangkat martabat Islam sebagai titik penyatuan muafakat ini bukan retorik politik semata -mata sebaliknya dengan sulaman keikhlasan ,kejujuran dan sikap lapang dada serta berjiwa besar sebagaimana mulianya sifat pemaaf yang ada pada diri Rasulullah junjungan mulia ,Nabi Muhammad S.A.W.

Sebelum pulang ,Normala mewakili kepimpinan PAS Kawasan Sekijang sempat menghadiahkan pimpinan tertinggi UMNO Bahagian Sekijang dengan sisipan akhbar Harakah sebagai ole-ole untuk dibaca dan dibawa pulang .

Sudah pastinya pemberian hadiah kecil ini disambut baik oleh mereka lantas menatap seketika paparan tajuk muka hadapan iaitu Sokong Tok Mat,calon PRK DUN Rantau yang merupakan antara lambang kerjasama yang telah dimulakan dalam beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini iaitu antaranya di Cameron Highland, dan di DUN Semenyih yang membuahkan kemenangan buat BN.

Kepulangan semua tetamu yang masih diiringi dengan hujan renyai -renyai membasahi bumi Sekijang pastinya meninggalkan nostalgia manis dalam diri masing -masing sambil menyimpul impian agar silaturrahim yang terjalin ini akan disusuli dengan siri perjumpaan seterusnya dalam waktu terdekat .

Semoga majlis ramah mesra pada malam ini membina suatu lembaran baru ke arah masa depan yang lebih gemilang dan lebih sejahtera dalam landskap politik Malaysia khususnya di bumi Sekijang .

Kepada pihak UMNO Bahagian Sekijang,didedikasikan 2 rangkap pantun :

Tinggi tinggi di matahari
Anak kerbau mati tertambat
Sudah lama kami menanti
Baru kini kami mendapat

Lipat tuala bersusun bunga
Suntingkan kenanga berawan larat
Tiadalah upaya kami membalasnya
Dari dunia sampai Akhirat .