Home Artikel PAS Wilayah

Majlis Hi Tea: Perasmian Markaz Zon Pandan

546
SHARE

KUALA LUMPUR, Kg Pandan, 12 November 2017: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Zon Pandan dalam Parlimen Titiwangsa (P119) hari ini telah mengadakan Majlis Hi Tea bersempena perasmian markas baru Zon Pandan. Majlis Hi Tea ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana pilihan raya.

Tetamu khas pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan; Tuan Hj. Mohamad Noor Mohamad dan Ustazah Nuridah Hj Mohd Salleh; Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Dalam ucapan pembukaan Majlis Hi Tea pada petang itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad mengingatkan para jentera pilihanraya supaya bersiap siaga bagi menghadapi PRU 14 yang sudah tidak lama lagi.

Dalam ucapannya, beliau telah memetik ayat 60 surah Al Anfal, “Dan bersiaplah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang kamu ada, dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Ustazah Nuridah Hj Mohd Salleh pula selaku penceramah kedua menerangkan berkenaan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) kepada para tetamu dalam majlis tersebut.

“WINS yang telah dilancarkan secara rasmi pada Fastaqim 2.0 yang lalu sungguh relevan untuk diaplikasikan kepada negara kita hari ini. WINS menyentuh soal pembangunan negara daripada sudut ekonomi, pendidikan, undang-undang, kesihatan, keselamatan dan persekitaran. WINS insha Allah akan menstabilkan semula geopolitik negara kita, seterusnya akan menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam suatu hari nanti”, ujar beliau.

Beliau juga menyeru wanita agar cakna akan soal-soal politik, kepimpinan negara dan menyarankan agar jangan lupa peranan wanita dalam institusi kekeluargaan.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ustaz Raihan selaku Ketua Penerangan PAS Titiwangsa. Beliau mengingatkan para hadirin berkenaan peranan ahli bagi mendepani PRU ke 14. “Menjadi calon pilihanraya bukan suatu kebanggaan, sebaliknya ia adalah amanah daripada Allah yang akan dipertanggungjawabkan. Siapa pun yang akan dipilih oleh jemaah sebagai calon hendaklah kita sebagai amilin yang taat memberi sokongan. Kemenangan adalah milik Allah. Ada ketikanya Allah tangguhkan kemenangan kerana calon tidak sesuai. Oleh itu, marilah kita berdoa banyak-banyak, semoga Allah datangkan calon yang sesuai untuk membawa obor Islam di Titiwangsa”.

Program sekitar 3 jam ini ternyata mendapat sambutan yang hangat daripada para amilin PAS. Majlis perasmian Markas PAS baru Zon Pandan telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Hj Mohamad Noor Mohamad.

Majlis Hi Tea ini adalah antara cara terbaik bagi mengumpul dana pilihanraya dan sewajarnya diteruskan penganjurannya.