Home Berita PAS Melaka

Mahu anak PASTI kurang berkemampuan rasai nikmat Aidilfitri

130
SHARE
Ustaz Mohd Norfaizal (kanan sekali) sedang menyantuni anak PASTI memilih pakaian

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABDUL RAHIM

AYER KEROH, 24 Apr: Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin berharap agar anak-anak didik di institusi ini yang kurang berkemampuan dapat merasai nikmat Hari Raya Aidilfitri melalui sumbangan yang diberi.

Menurut beliau, atas matlamat itu PASTI Melaka telah mengumpul dana sumbangan orang ramai melalui program Infak Semarak Kasih Ramadan 2022.

“Saya berharap bagi yang kurang berkemampuan ni dapat merasai nikmat Aidilfitri walaupun mereka ada kekurangan (dari sudut material).

“Dan saya juga berharap semoga program ini dapat diteruskan setiap kali Ramadan dan Aidilfitri agar dapat meringankan bebanan mereka,” ujar beliau.

Ustaz Mohd Norfaizal berkata demikian kepada WARM-Berita PAS Melaka seusai program ini yang berlangsung di Pasar Raya Besar Mydin, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau seramai 71 orang pelajar PASTI yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf dari seluruh negeri Melaka menerima sumbangan dalam bentuk pembelian baju raya di pasar raya dan duit raya yang bernilai RM100 setiap seorang.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa dan penderma yang sudi memberikan sumbangan kepada program Infak Ramadan ini.

“Dan alhamdulillah program ini dapat menampung dengan sumbangan daripada ibu bapa dan orang ramai sebanyak RM15 ribu dan juga kita di sini dapat memberikan pakaian dan duit raya dengan program Infak Ramadan ini,” kata beliau lagi.