Home Berita PAS Perlis

PASTI Kangar adakan khatam Al-Quran, tahlil, serah sumbangan Aidilfitri

124
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 23 Apr: Jabatan PASTI Kawasan Kangar semalam telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran, Tahlil dan Sumbangan Aidilfitri di PASTI Al-Muttaqin, Behor Janggus, di sini.

Program berkenaan dihadiri seramai hampir 50 orang peserta dan dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar (DPPKK), Dr. Abu Harith dan Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Kangar, Ustaz Mohd Suhairi Ghazali.

Ustaz Asrul dalam ucapannya menekankan kepada semua peserta yang hadir peri pentingnya mengejar keredaan Allah sejajar dengan objektif utama yang perlu diusahakan setiap hamba yang bertaqwa.

Turut dinyatakan, penghayatan terhadap isi kandungan Al-Quran dari semasa ke semasa kerana perkara berkenaan merupakan tanggungjawab seseorang yang beriman dalam memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran.

“Semoga program ini berupaya menjadi cetusan kepada guru-guru PASTI untuk menggalakkan anak-anak didik mereka mencintai dan setiasa mendampingi Al-Quran, seterusnya, dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan di dalam kehidupan,” ujarnya.

Dalam pada itu, PASTI Kawasan Kangar turut menyerahkan sumbangan khas 14 unit pembesar suara mudah alih kepada semua PASTI dalam kawasan Kangar bagi mempertingkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) para guru.

Selain itu, PASTI kawasan turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada para guru sebagai menghargai jasa serta pengorbanan mereka.