Home Rencana PAS Kelantan

Mahu ahli keluarga peluk Islam – Halim Teng

452
SHARE

Oleh NIK AZMAN MIK MUSTAFA

Tokoh Saudara Kita diterima oleh Abdul Halim Teng Abdullah pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1443 H/2021, baru-baru ini.

Halim atau nama asalnya Teng Lee Xung keturunan Hakka bertekad mahu melihat seluruh ahli keluarganya memeluk Islam.

Anak sulung dari lima adik beradik itu lahir pada 3 Ogos 1985 di Sungai Petani, Kedah.

Ketika dihubungi beliau menjelaskan, beliau memeluk Islam pada 10 Oktober 2017 atas kesedaran dirinya sendiri yang banyak dipengaruhi oleh pengalaman masa kanak-kanak ketika bergaul dengan rakan-rakan Melayu yang sekampung dengannya.

“Pada peringkat awal memeluk Islam memang ada tentangan daripada ahli keluarga, tetapi sekarang sudah baik semuanya.

Saya selalu pulang bertemu dengan keluarga yang kini menetap di Kuantan dan hubungan kami cukup mesra,” katanya.

Tentang pendidikan katanya lagi, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min dan menengah di sekolah yang sama sehingga ke tingkatan enam.

“Sesudah memeluk Islam saya mendalami Islam di Madrasah Ad-Diniah Al- Bakriah Pasir Tumboh selama tiga tahun.

Untuk lebih memantapkan pembabitan saya dalam bidang dakwah, saya menganggotai Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan dan mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Biro Dakwah,” tambahnya yang juga seorang yang mahir menguasai bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.

Berhubung dengan aktiviti dakwah beliau menjelaskan, beliau sekarang aktif menyampaikan kuliah agama khususnya dalam bidang perbandingan agama di masjid-masjid di negeri Pantai Timur.

Ketika ditanya tentang seruan dakwah untuk rakan-rakannya yang belum Islam, beliau menjelaskan, sesudah saya berjaya mengislamkan seluruh ahli keluarga saya, ketika itu saya akan berusaha untuk mengislamkan seramai mungkin rakan-rakan dan kenalan saya.

Berhubung dengan dakwah, beliau menekankan peranan dakwah adalah penting dan hendaklah sentiasa diteruskan disamping sentiasa menjaga perpaduan sesama saudara Islam.

“Jika berlaku polemik atau khilaf, jangan biarkan berlanjutan, perlu adakan muzakarah mencari penyelesaian demi kepentingan ummah,” katanya mengakhiri perbualan.