Home Berita PAS Perlis

Mahasiswa Bantah Provokasi Hina Nabi

1618
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KANGAR :  GAMIS tidak akan sesekali bertolak ansur dengan provokasi dan penghinaan terhadap agama Islam yang sengaja ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

Menurut Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan GAMIS Perlis, Muhammad Hafiz Paizul Azhar, provokasi sedemikian adalah perbuatan yang sangat melampau serta tidak bertanggungjawb, dan wajar dikenakan tindakan kerana boleh menggugat perpaduan kaum serta kestabilan negara.

“Tujuan kita berkumpul pada hari ini adalah untuk menyatakan penegasan kita selaku umat Islam terhadap isu penghinaan yang telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya ketika berucap dalam Perhimpunan Aman Bantah Penghinaan Nabi S.A.W. anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dekat sini pada 1 Mac yang lalu.

Tambah beliau lagi, antara bentuk penghinaan yang berlaku termasuklah memuat naik karikatur serta komen-komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. di laman sosial bertujuan menyinggung perasaan serta kemarahan Umat Islam.

Justeru ujarnya, mahasiswa bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam memberikan kefahaman yang sebenar berkenaan Islam kepada masyarakat khasnya bukan Islam agar perkara sebegini (penghinaan terhadap Nabi S.A.W.) dapat dibendung.

“Mahasiswa bersedia menjadi ejen penerangan bagi menjawab segala isu dan provokasi yang sengaja direka oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kesucian agama Islam.

“Mahasiswa juga tidak akan berdiam diri dalam menangkis segala macam jenis Islamofobia dan penghinaan yang tidak berasas (terhadap Islam) yang sedang cuba diterapkan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

“Jangan kita takut dan bimbang untuk membela agama sendiri, kerana sesungguhnya Allah pasti membela mereka yang mempertahankan agama Islam,” jelasnya memetik maksud ayat ke-7 Surah Muhammad.

GAMIS Perlis katanya lagi mendesak para pemimpin kerajaan khususnya yang beragama Islam agar tidak berdiam diri, sebaliknya memberi perhatian serius  terhadap isu-isu berkenaan agama Islam.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat Perlis yang hadir untuk sama-sama berganding bahu dan bangun dengan penuh keberanian untuk membela kesucian agama Islam.